ISU berkaitan masalah tunggakan gaji bagi kelab Liga Super, Kuala Lumpur City FC (KL City) menarik perhatian ramai pengikut bola sepak tempatan.
Penderitaan pemain jelas terpancar dengan pemain seperti Paulo Josue mengaku sudah tidak menerima gaji selama tujuh bulan.
Namun begitu, permasalahan ini bukan setakat melibatkan kewangan saja tetapi seolah-olah ada isu komunikasi antara pimpinan kelab Lembah Klang ini.
BACA LAGI: 'Selepas ini mesti ada,' orang kuat KLFA akui masalah kewangan KL City akan tarik perhatian MFL
BACA LAGI: Isu tunggakan KWSP KL City: 'Ia akan selesai secepat mungkin' — Abdullah Sani
Itulah yang diakui oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar mengenai situasi melanda mereka.
Menurut Syed Yazid, dia mengetahui permasalahan gaji para pemain KL City berada dalam keadaan lebih teruk selepas mendengar dari mulut Josue sendiri.
Paulo Josue sudah tidak menerima gaji selama tujuh bulan.
Tetapi, apa yang mengelirukan adalah ketika mesyuarat bersama ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab, Stanley Bernard, ia tidaklah seteruk yang dikatakan.
"Ketika di mesyuarat exco, kami diberitahu oleh Stanley yang tunggakan gaji hanya selama dua bulan.
"Selepas itu, saya berjumpa Paulo Josue di lapangan terbang, dia beritahu kepada saya yang jumlah tunggakan yang dialaminya adalah lebih daripada yang diketahui. Jadi, ia membuatkan perkara ini tidak jelas," kata Syed Yazid.
Syed Yazid berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan dekat Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
Bila ditanya adakah timbul masalah komunikasi melibatkan pengurusan kelab? Syed Yazid tidak menolak perkara tersebut.
"Kalau diikutkan bukanlah miscommunication, tetapi lebih kepada misinformation yang berlaku ketika ini.
"Sebab maklumat yang diterima daripada Stanley berbeza, dari pemain juga berlainan, jadi ia berbeza-beza," ujar Syed Yazid.
Apa yang dikatakan oleh Syed Yazid menimbulkan persoalan, siapakah yang betul dalam kenyataan diberikan?
Jelas sekali ia akan mengundang rasa tidak senang penyokong KL City kerana mereka sudah muak melihat pimpinan kelab saling menyalahkan antara satu sama lain.
Apa yang dimahukan oleh penyokong serta adalah penyelesaian dan jalan keluar daripada masalah ini. KL City sudah terlalu lama menderita, dan ia harus ditamatkan segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram