Tak pernah sepasukan, dua bekas import Sang Penyu kini bergabung di Filipina


  • Podium
  • Jumaat, 08 Nov 2024

De Murga (kiri) dan Omid menyertai One Taguig FC pada September lalu selepas pernah beraksi dalam skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, Terengganu FC sering melakukan perubahan terhadap barisan pemain import meskipun ada seketika, pasukan Pantai Timur itu berada dalam prestasi terbaik.

Rombakan itu dibuat bagi memastikan skuad Sang Penyu dapat menampilkan persembahan berbeza setiap tahun dan menyukarkan pihak lawan daripada membaca gaya permainan mereka.

Namun, terdapat juga sesetengah daripada pemain luar negara yang tidak memberikan impak seperti mana diharapkan daripada penyokong mahupun pihak kejurulatihan pasukan.

BACA LAGI: Selangor, Terengganu boleh berebut khidmat Kim Swee jika dilepaskan Sabah

BACA LAGI: Legenda Terengganu akui bola sepak Malaysia perlukan TMJ

WhatsApp-Image-2020-12-29-at-11.51.34-1-1024x748

De Murga hanya menghabiskan tempoh separuh musim bersama skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Salah seorang daripada import yang jelas mengecewakan ialah pemain berdarah kacukan Iran-Filipina, Omid Nazari selepas dia menyertai Terengganu FC pada 2023.

Dia yang disambar dari Negeri Sembilan FC tidak memberikan perubahan terhadap gaya permainan skuad Sang Penyu yang sememangnya dibanjiri beberapa pilihan sebagai pemain tengah.

Jadi, dengan kehadirannya gagal membawa kesan, pihak pengurusan kelab kemudian mengambil keputusan melepaskan pemain yang kini berusia 33 tahun berkenaan pada penghujung musim.

Penyingkiran dari kelab itu menyaksikan Omid memilih untuk pulang ke Filipina dan menyertai One Taguig FC pada 1 September lalu selepas beberapa bulan tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

Kehadirannya sudah tentu diharapkan dapat membawa dimensi baharu dari segi serangan mahupun pertahanan pasukan yang kini berada di tangga ketiga Liga Filipina selepas empat perlawanan.

nazi_1689166807

Omid (kanan) kurang memberi kesan buat skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Namun, keputusannya untuk menyertai skuad kendalian Jovanie Villagracia itu juga kelihatan menarik kerana mereka turut dibarisi seorang lagi bekas pemain Terengganu FC.

Bek tengah yang juga merupakan pemain kebangsaan di negara itu, Carli de Murga turut beraksi buat One Taguig FC selepas menyertai mereka pada 15 September lalu, iaitu beberapa hari selepas kehadiran Omid.

Pemain berkenaan sememangnya amat diingati penyokong skuad Sang Penyu memandangkan dia pernah bergelar kapten pasukan mereka walaupun hanya beraksi bersama kelab itu untuk kira-kira lima bulan.

Tempoh singkat tersebut jelas dihargai pengendalinya ketika itu, Nafuzi Zain yang membantu mereka berentap dalam Liga Super selain layak ke separuh akhir Piala Malaysia 2021.

Selepas itu, De Murga yang dilaporkan dirundung isu kecederaan menyertai gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim sebelum kembali ke Pantai Timur untuk mewakili Kelantan FC pada musim lalu.

Gandingan kedua-dua pemain berdarah Filipina itu pasti mengingatkan orang ramai akan kelibat mereka yang pernah menyarung jersi Terengganu FC, namun tidak pernah bergandingan bersama-sama di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram