TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli menyambut baik penganjuran Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M6 yang akan diadakan di negara ini pada 21 November hingga 15 Disember 2024.
Axiata Arena, Bukit Jalil bakal menjadi saksi pasukan manakah akan menjulang piala, sekali gus memegang takhta Juara Dunia M6.
Menurut Adam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengucapkan penghargaan kepada Moonton kerana berjaya mengembalikan MLBB M6 ke negara ini.
BACA LAGI: Raih kejuaraan 4 penjuru, SADA di landasan terbaik julang acara e-sports SBAM 2025
BACA LAGI: Atlet bertaraf dunia tapi Malaysia ketinggalan dalam industri e-Sukan
"Saya mengucapkan penghargaan kepada Moonton kerana bukan sahaja M6 kali ini, tetapi berjaya mengembalikan M 'series' ke Malaysia menerusi M6.
"Malah ia juga menambah kapasiti dari sudut penganjuran yang akan kita tengok nanti dengan karnival dan sebagainya.
"Format baharu juga akan menjadikan ia satu pengalaman yang berbeza, jadi penghargaan daripada KBS kerana menjadikan kita (Malaysia) sebagai tuan rumah untuk M 'series' yang sangat menarik kali ini," katanya ketika selepas Majlis Undian Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M6 di ESI Hub, Spacerubix, Puchong, Selangor pada Jumaat.
Adam (tengah) ketika ditemui media selepas majlis undian M6.
Tambahnya lagi, KBS juga akan memastikan perjalanan M6 berjalan dengan lancar daripada setiap sudut selepas negara menerima ramai atlet-atlet antarabangsa.
"Kita bekerjasama dengan Moonton dan ESI (Esports Intergrated) untuk terus membuat hebahan serta promosi bagi memastikan mana-mana keperluan dari sudut penganjuran dapat dibantu dan 'facilitate'.
"Dengan memastikan mana-mana acara sukan yang berlangsung di Bukit Jalil, akses untuk pengangkutan awam akan kami pastikan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) dan rakan-rakan lain 'accommodate' sebaiknya.
"Kedua, tentu sekali di pihak ESI sentiasa berhubung rapat dengan Moonton untuk memastikan apa keperluan penganjuran M6 kali ini berjalan lancar.
"Terutamanya sekali apabila contohnya dalam penggunaan venue dan akses juga sebab kita akan menerima ramai atlet yang akan tiba ke dalam negara.
"Jadi itu semua banyak memerlukan kerjasama berbagai agensi, di situ kami ada untuk memastikan operasi M6 'to take place'," jelasnya.
Kedudukan pasukan di pusingan pertama M6.
Adam juga meletakan harapan tinggi buat dua wakil negara, Selangor Red Giants (SRG) dan Team Vamos selepas kedua-duanya mempamerkan prestasi yang terbaik semasa perlawanan akhir Grand Final Liga Profesional MLBB (MPL Malaysia) pada 4 November lalu.
"Kemenangan SRG di Riyadh kemudian kalau kita tengok MPL baru-baru ini pun saingan yang ditonjolkan oleh Vamos di pusingan terakhir itu memang menujukan bahawa kedua-dua pasukan akan mewakili Malaysia adalah pasukan yang betul-betul mampu bagi saingan.
"Malah kalau kita ikuti perkembangan di luar Malaysia nampaknya negara serantau teruja untuk bertemu dengan wakil Malaysia kerana kita boleh nampak satu perkembangan yang baik dari sudut prestasi mereka.
"Ini menunjukkan kita ada keyakinan dengan pasukan yang diwakili Vamos dan juga SRG, kita lepak harapan tinggi dan saya rasa fans di luar sana juga sangat teruja," ujarnya.
Format baharu M6 yang dikenali sebagai Swiss Stage akan memberikan kelainan buat semua pasukan bertanding.
Dua wakil Malaysia diundi tidak bertemu sesama sendiri pada pusingan pertama M6, apabila Team Vamos akan menentang pasukan dari Arab Saudi, Twisted Minds.
Manakala juara MPL Malaysia, SRG akan bertemu pasukan Turkiye, S2G Esports pada pusingan pertama nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram