Padang stadium, Mukhairi Ajmal jadi topik utama fans Selangor FC bertemu Jeonbuk Hyundai


  • Podium
  • Khamis, 07 Nov 2024

Stadium Piala Dunia Jeonju, Korea Selatan. — Selangor FC

SELANGOR FC pastinya mahu mengutip tiga mata penting apabila berkunjung ke bandar Jeonbuk untuk bertemu Jeonbuk Hyundai Motor bagi aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) di Stadium Piala Dunia Jeonju, Korea Selatan pada Khamis (7 November).

Sebelum ini, Selangor telah menewaskan gergasi Korea Selatan itu dengan keputusan 2-1 di halaman sendiri sekali gus meletakan Gergasi Merah selaku pendahulu Kumpulan H.

Dengan ketiadaan bekas pengendali, Nidzam Jamil, pastinya ia misi sukar buat Selangor untuk mengutip tiga mata penuh di halaman lawan.

BACA LAGI: 'Ramai jurulatih import ambil lesen di Malaysia', Irfan Bakti nasihat Penang FC fokus kudrat lokal

BACA LAGI: [VIDEO] Bintang muda Barcelona alami pendarahan serius, terpaksa terima 10 jahitan dekat muka

Namun tiada yang mustahil dalam bola sepak apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini telah membuktikan mampu membenam juara Liga Korea Selatan, Ulsan Hyundai dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa lalu.

Kini Gergasi Merah berpeluang untuk membuktikan kualiti Malaysia dan Korea Selatan sudah tidak jauh berbeza.

Perkembangan positif bola sepak negara di pentas Asia dan harapan yang diletakkan oleh peminat tempatan juga menjadikan Selangor kini berdepan dua misi berbeza.

Kemenangan kali ini bakal mengesahkan kualiti yang ada pada Selangor dan membuktikan tiga mata pada pertemuan pertama di Petaling Jaya bulan lalu bukan dicapai secara kebetulan ataupun nasib.

Bagi penyokong Selangor, kualiti permukaan dan keluasan padang menjadi kerisauan mereka apabila pemain-pemain Gergasi Merah tidak biasa beraksi di atas rumput seperti itu.

"Permukaan padang Stadium Jeonbuk ini sangat berbeza dengan Stadium MBPJ, pergerakan bola juga pasti mainkan peranan penting untuk perlawanan esok (Khamis)," kata Aswad Hamidi.

"Kalau tengok daripada video latihan, keluasan padang Stadium Jeonbuk tak sama dengan MPBJ mungkin sebab venue perlawanan ini sangat besar," luah Mohd Khairul.

"Musim ini pemain Selangor belum main dekat stadium JDT, harap dah biasa dengan permukaan padang di Korea Selatan," ujar Ikmal Hanif.

Dalam pada itu, penyokong juga mahu melihat Mukhairi Ajmal diletakan di barisan tengah Selangor FC selepas ketiadaan Noor Al-Rawadbeh yang mengalami kecederaan serius pada minggu lalu.

"Cuba letak Mukhairi Ajmal main tengah, nak tengok macam mana bijaknya dia kawal barisan tengah Selangor," luah Hidayat Khamis.

"Mukhairi dah pulih daripada kecederaan harap boleh diturunkan dalam perlawanan menentang Jeonbuk Hyundai nanti," jelas Yusry Hizman.

Perlawanan Jeonbuk Hyundai menentang Selangor bakal berlangsung pada Khamis dengan sepak mula aksi dijadualkan pada pukul 6 petang waktu tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram