Reputasi lama tak penting, 3 rekrut baharu Selangor, Penang dan Sabah mudah senyapkan 'haters'


  • Podium
  • Rabu, 06 Nov 2024

Dari kiri: Wenzel-Halls, Jambor dan Joao Pedro mudah mencuri hati penyokong dengan persembahan konsisten.

MASALAH kewangan dialami majoriti kelab Liga Super musim ini menyaksikan jendela perpindahan kedua kurang rancak dengan pasukan enggan melabur untuk membawa masuk pemain baharu.

Namun, terdapat pengecualian buat beberapa kelab yang masih berbuat demikian kerana skuad sebelum ini dirasakan tidak memuaskan, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan pasukan paling rancak berbelanja diikuti Selangor FC dengan kedua-dua pasukan berentap di pentas Asia yang menyediakan cabaran lebih sukar.

BACA LAGI: Kelab senyap sunyi antara 3 'point' menarik jendela perpindahan kedua Liga M

BACA LAGI: Jendela perpindahan dah dibuka, tapi 3 kelab diramal duduk diam 'tak keluar modal'

Beberapa kelab Liga Super lain turut membawa masuk beberapa wajah baharu, lebih-lebih lagi buat mereka yang mengalami kelemahan jelas di atas padang dengan hanya kemasukan rekrut jendela kedua boleh menjadi jalan penyelesaian.

Tetapi, sebelum kehadiran pemain-pemain itu, ada dalam kalangan mereka mempunyai rekod kurang meyakinkan sehingga menyebabkan penyokong tidak yakin akan perancangan pihak pengurusan mahupun jurulatih masing-masing.

Pandangan serong berkenaan bagaimanapun tidak mematahkan semangat wajah baharu itu untuk memberikan aksi terbaik dengan ada daripada mereka jelas membawa perubahan buat nasib pasukan.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga pemain yang sebelum ini memiliki reputasi kurang memberangsangkan, namun berjaya memberi aksi terbaik sejak menyertai pasukan Liga Super masing-masing.

1. Joao Pedro

Kekecewaan jelas dialami penyokong Sabah FC selepas pihak pengurusan mengumumkan penyerang kelahiran Brazil, Ramon Machado meninggalkan kelab itu selepas kira-kira semusim menabur bakti.

Pemain import yang dikenali dengan sikap rajin di atas padang itu boleh dilabel sebagai tonggak serangan skuad Sang Badak, termasuk ketika mereka berentap dalam Piala AFC 2023/24.

Jadi, untuk mengisi kekosongan ditinggalkannya, skuad Sang Badak membawa masuk seorang lagi import dari Brazil, Joao Pedro yang sebelum ini beraksi di Vietnam bersama Viettel FC.

465444596_960956389404386_2018325711413363687_n

Jaringan Joao Pedro memacu skuad Sang Badak dalam carta Liga Super. Facebook/Sabah FC

Keputusan itu pada awalnya kurang mencuri hati penyokong kerana pemain berusia 24 tahun terbabit hanya merekodkan tiga gol sepanjang karier dengan catatan berkenaan amat dikhuatiri tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Bagaimanapun, selepas diturunkan sebanyak enam kali, dia sudah berjaya menepis pandangan serong itu kerana sudah mencatatkan enam jaringan yang memacu Sabah FC ke kedudukan ketiga Liga Super.

Pulangan itu menyaksikan penyokong mula meletakkan kepercayaan penuh buat Joao Pedro dengan harapan dia dapat membantu mereka merebut slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan.

2. Nikola Jambor

Seperti dikatakan di atas, Selangor FC merupakan antara pasukan yang rancak sepanjang jendela perpindahan kedua selepas membawa masuk tiga pemain baharu, iaitu Ali Olwan, Mohamad Abualnadi dan Nikola Jambor.

Abualnadi dan Olwan menerima sambutan memberangsangkan daripada penyokong kerana rekod masing-masing cukup baik, namun situasi berbeza dialami Jambor yang hadir dengan reputasi kurang baik.

Di samping kerap berpindah randah dalam kariernya, pemain import Croatia itu mempunyai statistik kurang cemerlang sepanjang beraksi dengan beberapa kelab sekitar Asia dan Eropah.

465826092_18464197141006712_6408496862913736513_n

Jambor memberi kestabilan kepada bahagian tengah skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Tetapi, selepas diturunkan sebanyak empat kali dalam kesemua pertandingan, dia sudah membuktikan nilai tersendirinya dalam pasukan apabila bijak mengawal tempo permainan skuad Gergasi Merah.

Hantaran tepat dan ketenangan ketika dalam penguasaan bola menjadikan Jambor nadi utama pasukan setakat ini tanpa mengambil kira rakan yang diturunkan di sampingnya.

Sekiranya prestasi itu diteruskan, bintang berusia 29 tahun berkenaan pasti akan dikekalkan Selangor FC yang teruja untuk menggandingkannya bersama seorang lagi import di posisi sama, Alex Agyarkwa.

3. Dylan Wenzel-Halls

Ketumpulan serangan sememangnya masalah besar dihadapi Penang FC musim ini kerana mereka hanya menjaringkan 13 gol dalam 14 perlawanan dengan rekod itu merupakan antara yang terendah dalam Liga Super.

Jadi, dalam usaha menyelesaikan isu berkenaan, skuad Harimau Kumbang mengambil keputusan membawa masuk import kelahiran Australia, Dylan Wenzel-Halls pada jendela perpindahan kedua.

Pemain yang pernah menjulang Piala AFC 2023/24 bersama Central Coast Mariners itu diharapkan dapat memperbaiki jentera serangan pasukan yang berusaha keras sepanjang musim.

460965780_1087147392925914_8140273169056682439_n

Wenzel-Halls merupakan rekrut ideal buat skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Namun, khabar angin itu pada awalnya kurang menerima sambutan baik daripada penyokong Harimau Kumbang yang kurang yakin melihat kepada statistik direkodkan dalam kariernya.

Tetapi, pandangan serong berkenaan segera ditepis Wenzel-Halls yang menampilkan aksi cukup baik sejak debutnya menentang Johor Darul Ta'zim meskipun pasukannya mengalami kekalahan.

Kerajinannya untuk cuba mendapatkan semula bola daripada pihak lawan merupakan salah satu sebab utama pemain berusia 26 tahun itu mudah mencuri hati penyokong dengan satu gol dan satu bantuan jaringan mengukuhkan lagi hubungan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram