Jendela perpindahan dah dibuka, tapi 3 kelab diramal duduk diam 'tak keluar modal'


  • Podium
  • Isnin, 02 Sep 2024

Johor Darul Ta'zim dilihat tidak berdepan masalah untuk membawa masuk wajah baharu dalam jendela perpindahan kedua liga musim ini.

JENDELA perpindahan kedua kini dibuka buat semua pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/25 bermula 26 Ogos hingga 22 September depan.

Setiap pasukan diberikan peluang dan masa selama sebulan bagi melakukan pendaftaran pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan masing-masing untuk tampil lebih baik di dalam perlawanan liga.

Ketika ini, kelab seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, dan Kelantan Darul Naim FC antara yang giat membawa masuk beberapa wajah baharu.

BACA LAGI: Syafiq Ahmad mahu buktikan masih berbisa bersama HM, anggap bintang Sabah-KL City pesaing '1st Eleven'

BACA LAGI: Skuad Jang terima nafas baharu, bekas tonggak KL City disebut dalam radar NSFC

Meskipun beberapa kelab Liga M kini dilihat rancak membawa masuk beberapa wajah baharu ke skuad mereka namun terdapat tiga pasukan dianggap 'senyap' kali ini.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelab yang 'senyap' dalam jendela perpindahan kedua ini.

WhatsApp Image 2024-09-01 at 20.22.05

Perak dijangka akan menggunakan pemain sedia ada untuk mengharungi kempen Liga Super. — Perakfc

1. Perak FC

Perak FC antara kelab Liga M yang kini dilihat mengambil pendekatan untuk berdiam diri daripada merekrut pemain baharu.

Adakah ia bersangkut dengan masalah atau tidak, hanya pihak pengurusan Perak sahaja yang mengetahui hal tersebut.

Namun begitu, peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara kelab itu, Bobie Farid Shamsudin baru-baru menimbulkan 1001 persoalan dalam kalangan penyokong.

Melihat kepada laporan media sebelum ini, Bobie mengakui bahawa sukan bola sepak seolah-olah sukar untuk diperbaiki lagi sekali gus menyebabkannya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan itu.

Dengan peletakan Bobie tersebut, pastinya pasukan kendalian Yusri Che Lah itu mengalami kesukaran untuk membawa wajah baharu dan hanya akan menggunakan pemain sedia ada bagi meneruskan perjuangan mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Kuching City

Para pemain Kuching City meraikan kejayaan menewaskan Selangor di suku akhir pertama Piala FA. — Kuching City FC

2. Kuching City FC

Dilabel sebagai pasukan belasahan sebelum ini, Kuching City FC kini bangkit apabila menjadi pasukan paling memeranjatkan dalam Liga M musim ini.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dilihat perlahan-lahan meningkatkan prestasi dari awal musim hingga berjaya melangkah ke tangga keempat dalam carta liga ketika ini.

Di bawah bimbingan cemerlang Aidil ketika ini, The Cats dilihat tidak berdepan sebarang masalah di bahagian pertahanan mahupun serangan.

Dalam pada itu, tidak hairanlah sekiranya The Cats antara kelab yang turut berdiam diri daripada membawa masuk wajah-wajah baharu.

Antara senjata utama yang kini dimiliki The Cats ialah Jordan Mintah, Daniel Amier, James Okwuosa dan Tchetche Kipre.

sri pahang

Sri Pahang sebelum ini didakwa dihimpit dengan masalah tunggakan gaji. — Facebook/SriPahang

3. Sri Pahang FC

Sri Pahang FC dijangka turut 'senyap' dalam merekrut wajah baharu musim ini.

Ia berikutan apabila pasukan itu sebelum ini dilaporkan berdepan masalah tunggakan gaji.

Kemelut tunggakan gaji yang berlaku dalam kem Sri Pahang pastinya memberi kesan kepada perjalanan Tok Gajah musim ini.

Dengan kekangan masalah kewangan itu, pastinya skuad kendalian Fandi Ahmad berdepan kesukaran untuk membawa wajah baharu menjelang jendela perpindahan kedua ini.

Dalam pada itu, sudah tentu skuad Tok Gajah itu hanya akan menggunakan pemain sedia ada untuk memperbaiki kedudukan dalam liga.

Untuk rekod, Sri Pahang kini menghuni tangga kesembilan liga dengan mengutip tujuh mata selepas lapan perlawanan berlangsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram