PENYERANG sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Jese Rodriguez mengakui masih dalam fasa untuk menyesuaikan diri namun bertekad ingin menyumbang sesuatu kepada kelab di pentas Liga Malaysia, lapor MFL.
Bekas bintang Real Madrid itu merupakan rekrut berprofil tinggi JDT pada musim ini dan terus menjadi tumpuan apabila melakukan debut pada perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC selepas dimasukkan pada minit ke-64 pada Sabtu.
Nyata, kemenangan 4-0 ke atas skuad Jang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi terus memberikan motivasi terbaik kepada Rodriguez dan rakan sepasukan selain dia mula memasang impian untuk mempersembahkan prestasi yang lebih baik pada aksi-aksi akan datang.
Rodriguez (kanan) akui masih dalam proses untuk mendapatkan kecergasan terbaik. — Facebook/JDT
Bahkan, bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu juga merasakan dengan saingan liga yang masih belum berakhir akan memberikannya ruang untuk terus memperbaiki diri sekali gus mahu membantu Harimau Selatan dengan lebih cemerlang.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana bukan mudah untuk untuk mendapatkan tiga mata di gelanggang lawan.
“Saingan liga masih belum berakhir tapi kami gembira dengan prestasi pasukan ketika ini.
"Secara peribadi saya berasa sangat baik tapi saya percaya saya masih boleh meningkatkan lagi prestasi dan apa yang penting adalah kemenangan buat pasukan.
“Saya baru sahaja bersama pasukan dan masih lagi dalam proses untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik dan menyesuaikan diri.
“Apa pun, saya sangat gembira bersama JDT dan saya berusaha untuk memperbaiki prestasi setiap hari dan mahu menyumbang sesuatu kepada JDT”, jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram