JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 sudah melabuhkan tirainya pada Ahad lalu dengan menyaksikan ada beberapa kelab Liga Super yang rancak merekrut pemain, ada juga pasif dalam mengumumkan ketibaan bintang baharu.
Situasi tidak henti-henti mengumumkan ketibaan bintang baharu lazimnya berlaku kepada pasukan yang tidak mempunyai masalah kewangan seperti kelab elit tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sedangkan, pasukan yang sedang dilanda dengan masalah kewangan hanya sekadar menyaksikan tonggak utama mereka dibeli oleh kelab lain bagi menampung kos operasi dan selebihnya terpaksa menggunakan 'ubi muda'.
BACA LAGI: Bintang baharu JDT sertai tonggak Selangor, Kedah jadi penyerang termahal Liga M 2024
BACA LAGI: Kurang hangat diperkatakan, 3 perpindahan tak cukup saga termasuk bintang muda JDT
Keadaan beberapa pasukan yang tengah 'kronik' dengan kantung kewangan masing-masing itu menjadikan jendela perpindahan Liga M pada pusingan kedua ini berlangsung agak suram tanpa ada kejutan perebutan pemain dari beberapa kelab.
Melihat kepada tempoh dua minggu jendela perpindahan dibuka baru-baru ini, beberapa perkara menarik boleh disaksikan berdasarkan kemasukan pemain mahupun penghijrahan tonggak pasukan.
Berdasarkan analisis dibuat Majoriti, berikut merupakan tiga situasi yang berlaku ketika jendela perpindahan kedua ini;
1) Kelab paling banyak ambil import
JDT membawa masuk enam import baharu pada jendela perpindahan kedua ini. — Facebook/JDTFC
Sejak 26 Ogos sehingga 22 September jendela perpindahan dibuka, tiga pasukan Liga Super iaitu JDT, PDRM FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dilihat sakan 'membeli-belah' pemain khususnya bintang import.
Harimau Selatan yang sedang menempuh cabaran dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini menjadikan ia alasan kukuh buat JDT membawa masuk beberapa import berkualiti.
Pemain yang sudah turun beraksi bersama JDT ialah bek tengah Korea Selatan, Park Jun-heong; Iker Undabarrena, Eddy Israfilov (pemain tengah); Enzo Lombardo, Jorge Obregon (penyerang) dan penjaga gol, Andoni Zubiaurre.
Sementara itu, skuad Kijang Emas pula juga tidak melepaskan peluang mereka menandatangani pemain import baharu iaitu Aung Kaung Mann dari Myanmar, Washington Brandao (Brazil) dan abang ketua pasukan, Layth Kharoub.
PDRM FC juga tidak kurang hebatnya apabila membawa masuk dua pemain import dari Korea Selatan iaitu Chang Jae-hyeok yang bermain di posisi bek tengah dan penyerang sayap, Um-deuk.
2) Kelab yang tak ambil import
Kedah antara kelab yang masih tidak menemui jalan penyelesaian isu gaji mereka. — Facebook/KDAFC
Nasib berbeza pula dialami oleh empat pasukan yang ada masalah gaji seperti Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Perak FC apabila mereka dilihat langsung tidak membeli mana-mana pemain pada jendela baharu ini.
Bukan hanya tidak merekrut pemain baharu, malah empat pasukan itu juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada tonggak utama mereka bagi membantu membaiki masalah kewangan yang kian terhakis.
Kedah yang menjadi kelab paling terkesan dengan isu kewangan terpaksa melepaskan penjaga gol utama mereka iaitu Kalamullah Al-Hafiz ke Selangor FC, Habib Haroon dan Fikri Che Soh.
Skuad The Bos Gaurus (TBG), pasukan Warga Kota dan Sri Pahang pula tidaklah terlalu terkesan, namun kempunan untuk membawa masuk wajah baharu dek perlu menjadi kebajikan para pemain lain sedia ada.
Ketiadaan rekrut jendela perpindahan kedua itu pasti akan membawa kegusaran terhadap keupayaan pasukan-pasukan itu musim ini yang belum berada dalam tahap terbaik.
3) Nafas baharu untuk pemain
Jendela perpindahan kedua juga menyaksikan perpindahan pemain antara kelab Liga Super dengan ada yang mahu mencari cabaran di persekitaran berbeza.
Antaranya adalah Hadi Fayyadh Abd Radzak yang menyertai PDRM FC secara kekal serta Ahmad Hazwan Bakri yang memilih untuk bekerjasama dengan Aidil Sharin Sahak di Kuching City FC.
Keputusan itu sekali gus memberi peluang buat mereka untuk menghidupkan semula karier masing-masing yang kian dilupakan orang ramai.
Malah, hasil daripada perpindahan itu sudah dapat disaksikan dengan Hadi Fayyadh terlibat dalam kemenangan skuad Sang Saka Biru ke atas Sabah FC sementara Hazwan dinanti-nantikan penyokong kelab baharunya itu.
Pemerhatian daripadanya menyaksikan jendela kali ini membuka ruang cukup luas buat pemain yang berkelana untuk menarik nafas baharu demi kelangsungan karier masing-masing di atas padang.
Tetapi, masa masih perlu diberikan kepada pemain yang sudah berada di 'rumah baharu' sebelum mereka dapat menunjukkan taring sebenar di atas padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram