Ramai tak perasan, 3 pemain termasuk Syafiq Ahmad alami perubahan posisi musim ini


  • Podium
  • Selasa, 05 Nov 2024

Syafiq memikul peranan berbeza sejak menyertai skuad Sang Kenari bagi memberi ruang buat MIlos Gordic. — Facebook/KDA FC

PERUBAHAN formasi dalam arena bola sepak bukanlah satu perkara baharu kerana dalam konteks antarabangsa, beberapa pemain ternama pernah mengalami perkara itu sepanjang karier mereka.

Pertukaran yang selalunya dilakukan pengendali masing-masing itu sering membuahkan hasil kerana kebolehan tertentu mereka dirasakan mampu membawa sudut berbeza buat pasukan.

Namun, masih terdapat situasi yang mana pemain mengalami perubahan tersebut gagal memikul peranan baharu tersebut kerana dirasakan tidak bersesuaian dengan gaya permainan tersendiri.

BACA LAGI: Sedar berdepan tugas sukar di Thailand, Safuwan lega 'ekor' Gergasi Merah ikut serta perjuangan Selangor

BACA LAGI: Piala FA: Nidzam Jamil, Safuwan setuju Selangor underdog berbanding JDT

thierry-henry-1417524348-3352

Thierry Henry merupakan antara pemain yang mengalami perubahan posisi dalam kariernya. Agensi

Situasi sama juga dapat disaksikan dalam landskap bola sepak tanah air apabila seseorang jurulatih bertindak membuat perubahan terhadap posisi anak-anak buahnya.

Meskipun perubahan itu kadang-kala kurang disedari penyokong, keputusan itu boleh membawa kebaikan buat pasukan berdasarkan kebolehan dan kualiti pemain berkenaan sendiri.

Malah, dalam arena Liga Super musim ini, terdapat beberapa pemain yang diubah posisinya dengan tiga daripada mereka berjaya memikul peranan baharu itu dengan baik.

1. Safuwan Baharudin

Selama kira-kira lima musim beraksi buat Selangor FC, Safuwan Baharudin dikenali sebagai seorang bek tengah yang kental dan mahir merebut bola di udara.

Peranan itu turut dipikul sepanjang 113 kali diturunkan buat skuad kebangsaan Singapura, iaitu selama 10 tahun pemain tersebut beraksi buat negara kelahirannya.

Tetapi, musim ini, perubahan sedikit dialami bek tengah berusia 33 tahun itu apabila dia pernah diturunkan di bahagian tengah dengan peranan bertahan ketika berada di bawah bimbingan Nidzam Jamil dan Abdi Hassan.

465276538_18463664413006712_4488692665772681607_n

Safuwan (kanan) tidak mengalami sebarang masalah dalam memikul peranan baharu itu. Facebook/Selangor FC

Kepercayaan baharu itu diberikan kerana Selangor FC sudah kehilangan khidmat Alex Agyarkwa sejak Ogos lalu akibat kecederaan selain Safuwan dilihat cukup mahir dalam membaca pergerakan lawan.

Selain itu, dia diberikan peranan itu kerana skuad Gergasi Merah memiliki lambakan bek tengah, seperti Umar Eshmurodov, Harith Haiqal dan Sharul Nazeem Zulpakar.

Peranan sebagai pemain tengah berkenaan berkenaan dipikul dengan baik setakat ini kerana dia hanya perlu mematahkan serangan pihak lawan dan memberikannya kepada Nikola Jambor untuk dihantar kepada rakan sepasukan lain.

2. Farhan Roslan

Sejak menyertai Sabah FC pada 2022, Farhan Roslan tidaklah terlalu dipandang Datuk Ong Kim Swee yang memiliki pemain lebih berkualiti untuk diletakkan sebagai penyerang sayap.

Malah, sepanjang musim lalu, pemain bertubuh kecil itu juga seperti kurang diberi perhatian meskipun skuad Sang Badak dilanda masalah kecederaan yang serius, lebih-lebih lagi terhadap barisan serangan mereka.

Bagaimanapun, musim ini, dia mula mencuri perhatian penyokong, terutamanya dalam beberapa aksi kebelakangan ini sejak dia diletakkan dalam peranan sedikit berbeza.

465591454_960955376071154_5801293529933531227_n

Farhan kini menjadi komponen utama buat skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Dia yang lebih sinonim sebagai pemain sayap diberikan peranan lebih bebas setiap kali diturunkan dengan peranan utamanya adalah membuat hantaran lolos kepada barisan serangan.

Gandingannya bersama Stuart Wilkin dan Gary Steven Robbat di bahagian tengah jelas membawa perubahan buat Sabah FC yang mula mendapat rentak kebelakangan ini.

Sekiranya peranan itu terus dipikul dengan cemerlang, tiada sebab untuk Kim Swee menggugurkan pemain berusia 27 tahun itu dalam aksi-aksi akan datang.

3. Syafiq Ahmad

Musim ini, Nafuzi Zain terus meletakkan kepercayaan penuh buat Milos Gordic sebagai penyerang utama pasukan meskipun pemain itu hanya meledak satu gol dalam kempen Liga Super.

Keputusan itu menyaksikan bintang pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad kurang diberikan kepercayaan dalam kesebelasan utama dalam posisi terbabit.

Tetapi, ia tidak mematahkan peluang buatnya daripada meraih minit permainan lebih kerap kerana dia sanggup diletakkan sebagai penyerang yang kerap berlegar di posisi sayap serangan.

465572870_591892053191976_4792062021525421671_n

Syafiq (kiri) masih berjaya membawa perubahan dalam peranan berbeza. Facebook/KDA FC

Meskipun peranannya bukanlah untuk melakukan hantaran dari posisi berkenaan, dia masih kerap membantu jentera serangan dengan membawa bola ke hadapan bagi menembusi gawang lawan.

Peranan itu juga dipikul dengan cemerlang kerana dalam 10 penampilan Liga Super musim ini, penyerang berusia 29 tahun tersebut sudah merekodkan dua gol.

Jadi, sekiranya rekod berkenaan diteruskan, Syafiq berkemungkinan akan terus diletakkan dalam posisi sedemikian selepas pulang ke pangkuan JDT pada penghujung musim nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram