PERMULAAN baharu menanti Manchester United apabila mereka baru-baru ini mengumumkan bahawa Ruben Amorim akan hadir mengisi kekosongan yang ditinggalkan Erik ten Hag sebagai pengurus pasukan.
Ini selepas pihak pengurusan kelihatan cukup teruja dengan karier kejurulatihannya setakat ini meskipun hanya menghabiskan tempoh kira-kira enam tahun di Portugal.
Namun, penyokong seperti kurang tertarik dengan keputusan melantiknya itu kerana masing-masing berpendapat pengurus tersebut masih belum terbukti selain tidak terlalu dikenali sekitar Eropah.
BACA LAGI: Posisi Ten Hag semakin terancam, 4 jurulatih sesuai boleh jadi sasaran Manchester United
BACA LAGI: Manchester United 'pusara' buat pemain bintang — Jamie Redknapp
Amorim memilih untuk bersara akibat kecederaan lutut serius yang dialaminya. — Agensi
Jadi, untuk memadam kesangsian terhadap pengendali berusia 39 tahun berkenaan, sebahagian peminat Manchester United tampil mencari maklumat dan latar belakang mengenainya.
Apa yang menarik dapat didapati mengenai Amorim adalah apabila dia memilih untuk menamatkan kariernya permainannya pada usia 31 tahun akibat kecederaan serius pernah dialaminya.
Ketika itu, dia yang merupakan tonggak di bahagian tengah mengambil keputusan berkenaan selepas menghabiskan tempoh kira-kira setahun tanpa sebarang aksi kompetitif selepas otot lututnya koyak.
Kecewa dengan peluang semakin terhad, dia bertindak menggantung but pada 2017 sebelum memilih untuk menceburi bidang kejurulatihan kerana rasa cintanya terhadap sukan itu masih belum luntur.
Amorim (kanan) ketika menimba ilmu bersama Mourinho di Manchester United. — Agensi
Menariknya, keputusannya itu seakan-akan memberi gambaran mengenai masa depannya kerana semasa mengambil lesen UEFA, Amorim pernah menimba ilmu bersama skuad The Red Devils yang dikendalikan Jose Mourinho.
Tempoh berkenaan merancakkan lagi kebolehannya sebagai pengurus apabila tidak lama selepas itu, Amorim dilantik sebagai pengendali Casa Pia yang beraksi dalam divisyen ketiga Portugal.
Namun, ketika itu, dia yang masih belum memiliki lesen B kejurulatihan hanya menghabiskan enam bulan bersama kelab berkenaan meskipun mereka berada di persada liga.
Isu berkenaan tidak mematahkan semangatnya dalam bidang tersebut kerana pada penghujung 2019, Amorim menerima panggilan Braga yang tertarik untuk melantiknya sebagai pengendali skuad simpanan sebelum diberikan peranan dalam pasukan utama.
Amorim ketika mula mencipta namanya bersama Braga. — Agensi
Bagaimanapun, berdasarkan peraturan ditetapkan UEFA, seorang jurulatih perlu memilik lesen Pro UEFA sekiranya mahu mengendalikan pasukan dalam liga utama Eropah.
Jadi, mengetahui perkara itu, Braga bertindak meletakkannya sebagai pembantu, namun keputusan diletakkan di bahunya dengan pendekatan berkenaan kurang digemari pasukan lain.
Keputusan pihak pengurusan kelab itu jelas membuahkan hasil kerana pada musim 2019/20, pasukannya menamatkan penantian bertahun-tahun lamanya untuk meraih kejuaraan apabila muncul sebagai pemenang Taca da Liga.
Kejayaan itu kemudiannya menyaksikan Sporting CP melantiknya pada musim berikutnya meskipun mereka tahu Amorim ketika itu masih belum memperolehi lesen kejurulatihan diperlukan.
Tetapi, disebabkan kagum atas sentuhannya bersama Braga, mereka sanggup berbuat demikian dengan membayar pampasan 20 juta Euro (RM94,733,800) dalam usaha mengembalikan mereka ke landasan.
Amorim menjuarai dua Liga Portugal bersama Sporting CP. — Agensi
Tidak cukup dengan itu, Sporting CP juga sanggup membayar denda dikenakan pihak pengelola liga Portugal berikutan isu lesen Pro UEFA hanya kerana kepercayaan diletakkan kepadanya.
Keputusan itu membuahkan hasil cukup baik kerana pada musim keduanya, Amorim berjaya menamatkan penantian 19 tahun mereka untuk menjuarai liga dengan skuad yang tidaklah serba lengkap berbanding Porto mahupun SL Benfica.
Dia kemudian mengulangi pencapaian berkenaan pada musim 2023/24 dengan menghadiahkan takhta liga sekali lagi buat Sporting CP yang menaikkan lagi reputasinya sekitar Eropah.
Rekod demi rekod yang dicatatkannya menyaksikan Amorim sekali lagi melonjak naik dalam kariernya apabila diberikan kepercayaan untuk mengemudi Manchester United bermula pertengahan November ini.
Meskipun tahu tugasan berat menantinya, dia sudah tentu tidak sabar untuk mencabar dirinya yang akan berdepan rintangan demi rintangan, baik di dalam mahupun di luar padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram