Manchester United 'pusara' buat pemain bintang — Jamie Redknapp


  • Podium
  • Isnin, 30 Sep 2024

Manchester United tewas dengan keputusan 0-3 di tangan Tottenham di Old Trafford pada Ahad.

JAMIE Redknapp menganggap Old Trafford adalah 'pusara' buat pemain-pemain hebat selepas Manchester United tewas 3-0 kepada Tottenham Spurs.

Spurs menguasai sepenuhnya aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford dan mampu menang lebih besar, dengan kapten Man United, Bruno Fernandes dibuang padang sebelum rehat.

Skuad kendalian Ange Postecoglou meledak gol di awal setiap babak menerusi Brennan Johnson dan Dejan Kulusevski sebelum Dominic Solanke melengkapkan kemenangan pada minit ke-77.

BACA LAGI: 'Hint kapak, aura viking' bekas rakan sepasukan Ibrahimovic muncul 2 nama jadi teka-teki fans Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] 'Proven' bawa Selangor ke Asia, kredibiliti Nafuziball buat nama Cheng Hoe, Nafuzi jadi pilihan fans Terengganu FC

Keputusan itu meletakkan United di tangga ke-12 pada tujuh mata selepas enam aksi pertama musim ini.

"Ia persembahan yang membuatkan ramai pengendali pasukan kehilangan jawatan mereka.

"Apabila kelab anda sedang giat mencari pengendali lain, kedudukan anda pasti goyah kerana pemain-pemain tahu anda bukan orang yang sepatutnya membimbing pasukan.

"Anda tidak boleh mengekalkan seseorang pengendali selepas cuba mencari orang lain untuk menggantikannya.

"Mereka bermain seperti hilang punca. Pemain-pemain yang dibawa masuk seperti kurang sesuai. Kelab ini mempunyai DNA menyerang. Saya lihat ramai pemain tidak berusaha bersungguh-sungguh. Kelab ini tidak dibina sebegitu.

"Saya tidak nampak bagaimana dia boleh kekal dengan persembahan begitu. Saya tahu dia menang dua trofi tahun lalu tetapi saya tidak pasti bagaimana dia mahu bangkit semula.

"Mereka menjaringkan lima gol dalam enam perlawanan. Ini adalah pusara untuk pemain-pemain hebat. Sesiapa yang datang ke sini akan mengalami kemerosotan," kata Redknapp. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram