'Semua jurulatih perlukannya', Amorim perjelas sebab sertai Man United


  • Podium
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Rekod kejurulatihan Amorim cukup mengagumkan walaupun hanya beberapa musim dalam bidang tersebut. — Agensi

PERSOALAN mengenai pengurus baharu Manchester United akhirnya terjawab apabila pasukan berkenaan mengumumkan kehadiran Ruben Amorim pada Jumaat selepas khabar angin itu bertebaran di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Dia yang sebelum ini mengendalikan Sporting CP di Portugal sememangnya amat dikehendaki kelab tersebut melihat kepada usianya yang masih muda selain kejayaan dicatatkannya dua musim kebelakangan ini.

Meskipun pelantikannya itu menimbulkan kesangsian dalam kalangan penyokong, ia tidak menghalang pihak pengurusan untuk memberikan mandat pengurusan kepadanya.

BACA LAGI: Laju buat kerja, Ruben Amorim mungkin kendali aksi Man United seawal aksi bertemu Chelsea

BACA LAGI: Sebelum 'dirisik' Man United, Amorim rupanya pernah ditolak Liverpool sebab formasi

Amorim juga kelihatan cukup gembira dengan berita tersebut kerana dia menegaskan keputusannya untuk menerima lamaran tersebut dibuat atas kemahuannya untuk menguji kebolehan sebenarnya.

"Saya percaya setiap jurulatih memerlukannya. Sesiapa sahaja dalam kehidupan mereka akan mahu mencabar diri setiap kali berada dalam keadaan selesa, tetapi mahu mencapai atau membuktikan sesuatu.

"Kita juga perlu mengambil langkah ke hadapan meskipun tahu ia akan menyukarkan kita. Sesiapa sahaja tidak akan tahu adakah ia akan membuahkan hasil atau tidak," katanya.

Sebelum mengendalikan Sporting CP, Amorim merupakan pengurus Braga yang juga bersaing dalam Liga Portugal dengan kejayaan turut disaksikan ketika pasukannya berentap dalam Liga Europa UEFA.

Pada musim 2019/20, dia kemudiannya menyertai Sporting CP yang mengalami konflik di luar padang, namun berjaya membantu mereka meraih kejuaraan domestik pada tahun berikutnya.

Rekod memberangsangkan itu menyaksikan Manchester United tidak teragak-agak untuk melantiknya hanya beberapa hari selepas memecat pengurus terdahulu, Erik ten Hag.

Berdasarkan perjanjian, Amorim akan kekal bersama Sporting CP sehingga jendela FIFA pada November dengan peranan kejurulatihan skuad The Red Devils dipikul Ruud van Nistelrooy ketika ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram