Legenda The Red Devils hentam 2 pemain Man United selepas cicir mata kepada Chelsea


  • Podium
  • Isnin, 04 Nov 2024

Manchester United sekali lagi berputih mata dalam misi membawa pulang tiga mata penuh dari laman sendiri. — Agensi

MANCHESTER United gagal meneruskan momentum dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila hanya mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Chelsea di laman sendiri pada Ahad lalu.

Mereka yang pada awalnya mendahului menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes hanya dapat bergembira untuk beberapa minit sebelum pasukan pelawat mengikat kedudukan menerusi Moises Caicedo.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan yang menyaksikan skuad The Red Devils sekali lagi gagal mengutip tiga mata penuh dalam EPL buat kali ketujuh setakat ini.

BACA LAGI: Baru belasah Leicester, van Nistelrooy sudah rasa Man United sukar untuk ditewaskan Chelsea

BACA LAGI: Laju buat kerja, Ruben Amorim mungkin kendali aksi Man United seawal aksi bertemu Chelsea

Man-United-Rashford-Garnacho

Rashford (kanan) dan Garnacho kurang berkorban ketika berdepan Chelsea. — Agensi

Kecewa akan keputusan berkenaan, legenda Manchester United, Gary Neville menyelar persembahan dua pemain yang dilihat perlu meningkatkan mutu permainan dalam aksi akan datang.

Mereka merupakan Alejandro Garnacho dan Marcus Rashford yang diletakkan di posisi sayap menyerang dengan harapan dapat membantu merancakkan lagi jentera serangan pasukan, namun gagal berbuat demikian.

"Saya sebenarnya tidak mahu mengkritik mereka, namun terpaksa kerana kedua-dua pemain ini hadir daripada skuad belia Manchester United. Jadi, anda sememangnya sudah mencuri hati penyokong.

"Malah, jelas bahawa kedua-dua mereka sudah berada dalam pasukan untuk beberapa tahun. Tetapi, mereka tidak beraksi dengan baik jika dibanding graduan akademi kelab-kelab lain," katanya.

Neville yang juga merupakan pundit ternama di England membandingkan kedua-dua pemain berkenaan dengan Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli yang kini beraksi di Arsenal serta bintang Manchester City, Phil Foden.

0_GettyImages-2042720645

Neville mahu menyaksikan kesungguhan daripada kedua-dua pemain The Red Devils itu. — Agensi

Mereka merupakan graduan akademi yang beraksi untuk pasukan masing-masing dengan status itu menyebabkan mereka bersemangat memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan.

Pemerhatian berbeza dapat disaksikan terhadap Rashford dan Garnacho ketika berdepan Chelsea kerana kedua-dua pemain berkenaan enggan membantu barisan pertahanan.

"Apa yang penting adalah anda perlu bekerja keras. Saya tidak mahu mengatakan mereka tidak berbuat demikian, namun saya tahu mereka boleh melakukan pengorbanan lebih kerap buat pasukan.

"Sejujurnya, saya tidak terlalu memikirkan apa yang mereka boleh lakukan sekiranya menerima bola, namun saya lebih tertarik untuk menyaksikan apa mereka lakukan setiap kali kehilangan penguasaan," katanya.

Satu mata yang dikutip di Stadium Old Trafford, Manchester itu menyaksikan The Red Devils kini berada di kedudukan ke-13 EPL dengan kemenangan demi kemenangan perlu diraih sekiranya mahu melangkah ke saingan Eropah musim depan.

Bagi Chelsea pula, keputusan seri itu sudah cukup untuk meletakkan mereka dalam kelompok empat pasukan teratas, namun jurang mata kecil dilihat antara mereka dengan Arsenal yang berada di tangga kelima. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram