KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengubah venue perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak FC menerima bantahan terbuka daripada penyokong.
Ini kerana perlawanan yang sepatutnya diadakan di Stadium Manjung, Perak itu secara tiba-tiba diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 10 November akan datang.
Perubahan itu sememangnya menimbulkan rasa tidak puas hati daripada penyokong yang mula melancarkan gerakan untuk memboikot aksi berkenaan meskipun kos perjalanan menggunakan bas akan ditanggung.
BACA LAGI: [VIDEO] Enggan jadikan tukar venue punca kalah, bek TBG desak kebangkitan berdepan Terengganu
BACA LAGI: Baru aksi pertama, penyokong TBG sudah persoal risiko keselamatan tempat duduk Stadium Manjung
Malah, ada juga yang mula mendesak pihak pengurusan kelab Utara tanah air berkenaan untuk memberi penjelasan mengenainya kerana mereka dilihat tidak mempunyai pendirian tersendiri mengenai isu berkenaan.
Antara individu yang menjadi sasaran ialah Pengurus Besar Perak FC, Neow Choo Seong sehingga beliau dilabel tidak bermaruah disebabkan sanggup menerima tawaran berkenaan.
Tetapi, beliau yang merupakan Ketua Penerangan Pemuda MCA meminta peminat setia skuad TBG untuk memberi ruang kepada pihak pengurusan sebelum dapat memberikan penjelasan mengenainya.
"Saya belum boleh komen kerana tidak tahu menahu perkembangan kerana kini berada di luar negara atas urusan rasmi. Biar saya dapatkan penjelasan dan gambaran sebenar dahulu.
Respons diberikan Choo Seong kepada penyokong yang mengkritik pendirian pihak pengurusan Perak FC.
"Apa-apa pun, saya mohon semua penyokong supaya bertenang. Saya pun salah seorang penyokong Perak dan saya di sini untuk membantu pasukan, khususnya melalui pembangunan pemain muda," katanya.
Kenyataan itu diberikan menerusi jawapan kepada komen Syukri Naim yang mengatakannya tidak bermaruah selain meminta penjelasan di sebalik perubahan berkenaan.
Aksi antara JDT dan Perak FC sebelum ini ditangguh sebanyak dua kali berikutan keadaan padang yang berlecak dan tidak sesuai di Stadium Perak, Ipoh.
Penangguhan itu menyebabkan penyokong skuad TBG berang dengan keputusan MFL sehingga masing-masing melabel pasukan lawan 'manja' kerana enggan beraksi dalam keadaan sedemikian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram