STADIUM Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor secara rasminya dipilih sebagai venue aksi tertunda Liga Super 2024/2025 antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Ahad ini.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan pada Selasa, lampu limpah di Stadium Manjung tidak melepasi piawaian minimum serta berisko tinggi jika berlaku hujan lebat antara faktor Perak telah diminta untuk menamakan venue alternatif.
Permintaan daripada pengelolal bola sepak domestik itu juga disebabkan untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini yang mungkin akan merencatkan lagi jadual liga musim ini.
BACA LAGI: Surat aksi Perak-JDT 'leak', nampaknya SSI dipilih jadi venue berbanding Stadium Manjung
"Sebagai maklum balas kepada permintaan MFL itu, Perak FC telah menamakan SSI (Stadium Sultan Ibrahim) sebagai gelanggang mereka untuk perlawanan tertunda tersebut.
"Sebelum ini dua pertemuan Perak FC dengan JDT masing-masing pada 17 Ogos dan 5 Oktober 2024 terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat dan keputusan yang dibuat kali ini adalah untuk memastikan undian Piala Malaysia 2024/2025 pada 11 November 2024 dapat berjalan seperti yang dirancang,” menurut kenyataan itu.
Walaupun kekurangan satu perlawanan namun skuad Harimau Selatan masih kekal menghuni carta tertinggi liga dengan mengumpul 37 mata selepas 13 perlawanan, meninggalkan pencabar terdekat Selangor FC di tangga kedua dengan perbezaan lapan mata.
Momen sebelum perlawanan Perak dan JDT ditunda akibat hujan lebat dan permukaan padang yang tidak baik pada 5 Oktober lepas. — Facebook/PerakFC
Manakala, Perak FC pula berada di kedudukan ketujuh dengan mengutip 17 mata selepas meraih lima kemenangan, dua seri dan selebihnya tewas dalam 13 perlawanan diharungi skuad The Bos Gaurus (TBG).
Terdahulu, penangguhan perlawanan antara JDT dan Perak buat kali kedua mengundang pelbagai reaksi daripada daripada pelbagai pihak serta penyokong yang sudah bersusah payah hadir ke Stadium Manjung.
Ia juga mendapat respons daripada bekas Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin atau lebih dikenali sebagai Ariesham, yang berpendapat keputusan penundaan perlawanan itu tidak masuk akal.
Stadium Sultan Ibrahim jadi pilihan venue perlawanan antara Perak dan JDT. — Facebook/JDT
Selain itu, pemilik JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menyuarakan kekesalan terhadap kualiti padang bola sepak di negara ini susulan penangguhan perlawanan melibatkan pasukannya itu.
Menurut Tunku Ismail, hampir semua padang bola sepak di negara ini masih belum berada dalam keadaan baik untuk perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram