JDT baik hati beri venue, Perak akan sediakan bas percuma untuk penyokong ke SSI — CEO


  • Podium
  • Selasa, 05 Nov 2024

Azim juga berkongsi akan menyediakan bas percuma untuk memudahkan pergerakan penyokong ke Iskandar Puteri. — Facebook/Perak FC

PERAK FC meluahkan rasa syukur mereka terhadap Johor Darul Ta'zim (JDT) atas pelawaan untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri di Johor sebagai venue perlawanan Liga Super pada Ahad ini.

Ucapan terima kasih itu dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, sambil berkongsi bahawa lampu limpah di Stadium Manjung tidak melepasi piawaian minimum serta berisiko tinggi jika berlaku hujan lebat menjadi faktor venue terpaksa diubah.

Menerusi kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), SSI secara rasminya dipilih sebagai venue aksi tertunda Liga Super 2024/2025 yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Ahad ini.

BACA LAGI: Lampu limpah Stadium Manjung tak lepas piawaian minimum antara faktor SSI jadi pilihan aksi Perak-JDT

BACA LAGI: Surat aksi Perak-JDT 'leak', nampaknya SSI dipilih jadi venue berbanding Stadium Manjung

"Pertukaran venue ini melibatkan liputan televisyen. Lampu limpah tak mencukupi dengan voltage yang ditetapkan. Kalau televisyen nak buat liputan, perlukan voltage yang lebih tinggi. Jadi itu satu dah jadi masalah.

"Sebab kedua mengenai keselamatan. Jika lihat keselamatan Stadium Manjung ini, ia agak terbuka. Risau ada pergaduhan, agak sukar untuk pihak polis bendung dan kawal. Kalau dekat Stadium Ipoh, mudah untuk disekat.

"Jadi atas arah faktor-faktor ini, kita semua berpendapat untuk menukar venue dan Johor juga telah bermurah hati untuk menawarkan stadium mereka.

"Untuk makluman, kami (pihak pengurusan) dah pergi tengok semua pilihan stadium di Perak, tidak ada yang menepati dengan piawaian MFL. Jadi, maksudnya memang SSI tinggal jadi pilihan," katanya kepada Majoriti.

ala daldam

Pada 5 Oktober lalu, perlawanan Perak dan JDT ditangguhkan akibat hujan lebat dan permukaan padang yang tidak baik. — Facebook/PerakFC

Selain itu, Abdul Azim juga berkongsi bahawa akan menyediakan bas percuma kepada penyokong Perak FC untuk memudahkan perjalanan pergi dan pulang mereka ke Iskandar Puteri.

Sebelum ini, kira-kira seramai 10,833 penyokong Perak hadir ke Stadium Manjung untuk memberikan sokongan kepada The Bos Gaurus (TBG) sebelum semua diminta pulang susulan perlawanan ditunda kerana hujan lebat.

ssi

Stadium Sultan Ibrahim jadi pilihan venue perlawanan antara Perak dan JDT. — Facebook/JDT

"Kita akan sediakan bas untuk semua penyokong dan akan pergi beramai-ramai ke SSI lah. Maksudnya, semua yang ada tiket hari itu akan dibawa ke menaiki bas percuma yang disediakan Perak.

"Walaupun bermain di laman lawan, kita harap yang terbaik daripada pasukan. Harap mereka tidak gentar dan akan ada juga penyokong hadir untuk beri sokongan. Penyokong akan berikan mereka semangat beraksi dengan baik," tambahnya.

Terdahulu, dua perlawanan Liga Super pada 5 Oktober dan 17 Ogos lepas yang sebelumnya berlangsung di Perak ditangguhkan akibat permukaan padang yang tidak baik susulan hujan lebat membasahi negeri berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram