[VIDEO] Enggan jadikan tukar venue punca kalah, bek TBG desak kebangkitan berdepan Terengganu


  • Podium
  • Ahad, 20 Okt 2024

Skuad TBG perlu bangkit segera selepas gagal meraih sebarang mata dalam aksi menentang Sabah FC. — Facebook/Perak FC

SELEPAS merekodkan tiga kemenangan berturut-turut dalam Liga Super, Perak FC terpaksa akur apabila tewas kepada Sabah FC di laman sendiri dalam aksi yang berlangsung pada Sabtu.

Mereka yang memecahkan kebuntuan terlebih dahulu menerusi sepakan penalti Luciano Guaycochea gagal memastikan kelebihan berkekalan selepas Ko Kwang-min dan Stuart Wilkin menjaringkan gol untuk meletakkan skuad Sang Badak di hadapan dengan kedudukan 2-1.

Skuad The Bos Gaurus (TBG) bagaimanapun enggan berputus asa terlalu awal apabila Clayton da Silva mengikat semula kedudukan pada minit ke-49 untuk mencerahkan peluang tuan rumah.

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum bintang Perak, Syafiq Ahmad antara 3 bintang Liga Super pernah layan STL

BACA LAGI: Tarikh baharu aksi Perak-JDT ganggu Piala Malaysia, timbulkan persoalan perancangan MFL

Namun, kealpaan benteng pertahanan Perak FC akhirnya mengundang padah apabila Joao Pedro dan Miguel Cifuentes masing-masing mencatatkan gol untuk memastikan kemenangan berpihak kepada skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Kekalahan itu sudah tentu pahit untuk ditelan anak-anak buah Yusri Che Lah yang gagal mengekalkan prestasi cemerlang mereka dalam Liga Super dengan mereka sepatutnya mengukuhkan lagi kedudukan dalam kelompok lima pasukan teratas.

Bek tengah pasukan, Shivan Pillay mengakui pelbagai kekurangan perlu diatasi pasukannya, namun mengakui persembahan memuaskan sudah dipamerkan di hadapan penyokong sendiri.

"Bagi saya, kita sudah bermain bersungguh-sungguh dan berikan yang terbaik, tetapi keputusan tidak memihak kepada kami hari ini. Kita akan bangkit dan perbetulkan segala kesilapan serta memberikan aksi lebih baik bagi aksi akan datang," katanya kepada MFL.

Shivan yang diturunkan dalam kesebelasan utama di samping Jesper Nyholm sudah tentu kecewa kerana gagal mengekang barisan serangan Sabah FC dengan empat gol dilepaskan mereka.

464041089_556851030228610_5300543485152120970_n

Shivan (kiri) ketika cuba mengasak penyerang Sabah FC, Joao Pedro. Facebook/Perak FC

Malah, isu berkenaan cukup merisaukan buat pasukan bimbingan Yusri yang dibolosi sebanyak 17 kali dalam 11 perlawanan Liga Super 2024/25 dengan ia perlu diperbaiki segera.

Mengulas lanjut, pemain berusia 23 tahun berkenaan enggan menjadikan perubahan 'rumah' skuad TBG sebagai punca kekalahan dengan ia merupakan kali pertama mereka beraksi di Stadium Manjung, Perak musim ini.

"Kita pernah adakan aksi dan latihan di sini. Jadi, kita tidak boleh jadikannya sebagai alasan dan kita akan bekerja lebih keras untuk menambah baik pasukan kita dan harapnya kita dapat mencatatkan kemenangan di stadium baharu ini.

"Selepas ini, Terengganu FC merupakan satu pasukan yang bagus, tetapi kita juga merupakan pasukan yang bagus. Jadi, kita akan berikan saingan terbaik dan harapnya dapat mengumpul tiga mata untuk berada di kedudukan lebih baik," katanya lagi.

Perak FC terpaksa berpindah ke venue berkenaan selepas kerja-kerja memperbaiki Stadium Perak, Ipoh bermula dengan ia tidak akan dapat digunakan bagi beberapa bulan.

Mereka akan menerima kunjungan skuad Sang Penyu di tempat sama pada Sabtu depan dengan ia pasti menjadi aksi sengit melihat kepada prestasi kedua-dua pasukan yang kurang memberangsangkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram