
KEMERIAHAN dapat dirasai di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor pada Ahad lalu apabila ratusan ribu peminat sukan permotoran enggan melepaskan peluang menyaksikan perlumbaan epik motosikal berkuasa tinggi.
Tumpuan pastinya diarahkan kepada kategori MotoGP yang dibarisi nama-nama besar, seperti Marc Marquez dan Pedro Acosta, namun diungguli pelumba dari Itali, Francesco Bagnaia.
Bagaimanapun, kategori Moto3 juga tidak kurang meriahnya apabila 26 pelumba dari beberapa negara hadir untuk membuktikan keupayaan dalam sukan permotoran berkenaan.
BACA LAGI: Selalu buat 'homework', Hakim Danish ada misi takluk RedBull Moto GP Rookies Cup
BACA LAGI: Berlatih tanpa henti, Qabil Irfan dedah faktor kejayaan di bumi Barcelona
Perlumbaan itu akhirnya diungguli David Alonso yang bersaing di bawah tiket CFMOTO GaviotaAspar Team diikuti Taiyo Furusato dari Honda Team Asia dan Jose Antonio Rueda mewakili Red Bull KTM Ajo.
Namun, perlumbaan itu tidak terkecuali daripada insiden yang menyaksikan pelumba dari Sepanyol, Xabi Zurutuza yang menamatkan saingan di tangga ke-14 terjatuh daripada jenteranya.
Berdasarkan klip yang tular di media sosial, dia yang mewakili Red Bull KTM Ajo kelihatan sedang meraikan kemenangan Rueda sambil menggayakan aksi 'wheelie' sejurus melepasi garisan penamat.
Tindakannya itu bagaimanapun memakan diri apabila dia terjatuh selepas gagal mengawal motosikal dipandunya sebelum terheret di tengah trek perlumbaan untuk kira-kira 10 meter.
Nasib menyebelahi pelumba berusia 18 tahun itu kerana rata-rata pelumba lain sudah memperlahankan jentera masing-masing yang membolehkan mereka mengelak daripada melanggarnya.
Zurutuza dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dengan dia kemudian kelihatan sempat membonceng Alonso yang ketika itu juga sedang meraikan kemenangannya.
Dia juga kelihatan sempat meraikan kemenangan Rueda yang meraih kedudukan podium untuk merancakkan lagi musim Moto3 dengan dua perlumbaan berbaki, iaitu di Valencia, Sepanyol sebelum melabuhkan tirai di Kazakhstan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram