PELUMBA berbakat negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri selepas menjuarai perlumbaan kedua Grand Prix (GP) Aragon saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 pada Ahad.
Pada perlumbaan itu, Hakim Danish yang berusia 17 tahun berjaya menewaskan wakil tuan rumah, Brian Uriarte di kedudukan kedua, manakala pelumba Finland, Rico Salmela melengkapkan kedudukan podium sebagai pemenang tempat ketiga.
Berlangsung dalam keadaan litar basah, Hakim Danish jelas berjaya memanfaatkan sepenuhnya kepakaran berlumba dalam keadaan permukaan litar yang licin di Aragon untuk menamatkan perlumbaan dengan jurang besar lebih 6 saat di depan pencabar terdekatnya.
BACA LAGI: Jendela perpindahan dah dibuka, tapi 3 kelab diramal duduk diam 'tak keluar modal'
Dengan kemenangan menakluk bumi Aragon itu, ramai warga maya memuji aksi persembahan yang ditampilkan oleh wakil Malaysia itu meskipun berdepan dengan keadaan litar basah.
"Jaranglah Malaysian rider tak perform time hujan," kata @apip_azam.
"Hujan tu memang dah sebati dengan orang Malaysia, ibarat mainan orang kita," kata @supersyaf8.
"Hujan saja pun, orang kita dah biasa dengan hujan ni, tahniah Hakim Danish," kata @kidzandrea.
Dengan kemenangan itu, Hakim Danish kini disifatkan sebagai meneruskan legasi yang sebelum ini dipikul oleh pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah sebagai 'raja litar basah' Malaysia.
Untuk rekod, Hafizh Syahrin yang dikenali dengan gelaran 'pescao' itu muncul sebagai anak Malaysia pertama berlumba dalam kelas utama MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3.
Gelaran Pescao membawa maksud ikan dalam bahasa Sepanyol. Hafizh diberi gelaran pescao atau juga disebut orang Malaysia 'peskau' kerana rata-rata rakyat Sepanyol tidak pandai menyebut nama Hafizh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram