Enjin mula panas, ramai harap Hafizh Syahrin tampil serasi bersama JDT Racing Team


  • Podium
  • Isnin, 26 Feb 2024

JDT Racing Team akan bersaing dalam kejohanan ARRC 2024. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SELEPAS cemerlang dalam sukan bola sepak, Johor Darul Ta’zim (JDT) mula mengorak langkah dalam terus mencipta legasi.

Harimau Selatan kini mempunyai penguasaan terhadap bola sepak, hoki ais selain dalam misi meluaskan kuasa dalam sukan futsal dan kini pemotoran.

JDT Racing Team kini telah mula memanaskan enjin mereka bagi persediaan menjelang kejohanan Asia Road Racing Championship (ARRC) dengan mereka mempertaruhkan Hafizh Syahrin sebagai penunggang utama.

Menerusi perkongsian JOHOR Southern Tigers, JDT Racing Team telah menjalani latihan pertama mereka dengan Hafizh mencuba jentera baharunya Sepang, Selangor.

Dalam gambar yang dikongsikan, JDT Racing Team dilihat akan menggunakan jentera keluaran Ducati sebagai taruhan mereka dalam kejohanan tersebut.

BACA LAGI: Andai bersatu semula jika kapten Kedah berhijrah, Sang Kenari kena fikir masak-masak sebelum 'ikat' Liridon

429963350_969633427865967_8342790539395845818_n

Hafizh Syahrin merupakan penunggang JDT Racing Team. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Walaupun pengeluar jentera telah diketahui, tetapi corak rekaan masih misteri kerana JDT Racing Team belum mengumumkannya secara rasmi.

Melihat kepada permulaan era pemotoran JDT, ramai yang mengharapkan Hafizh mampu membawa pulang kejayaan buat pasukan baharunya, lebih-lebih lagi dengan pengalamannya yang pernah beraksi dalam perlumbaan MotoGP.

“Mantap dan selamat maju jaya buat Hafizh Syahrin dan JDT Racing Team,” kata penyokong menggunakan akaun Fireblade Rider.

“Harap Hafizh Syahrin dapat membuktikan (kebolehannya) agar dapat membalas kepercayaan TMJ,” ujar Amin pula.

“Selalu dapat motosikal yang tak sesuai. Harapnya yang ini adalah yang terkini, jangan sia-siakan peluang,” kata Basri Md Jaafar.

Melihat kepada permulaan baharu dalam dunia permotoran di Johor, ada juga yang berharap agar litar-litar lumba di negeri tersebut mula dibuka semula.

BACA LAGI: [VIDEO] Larian deras atlet cilik Sabah gegarkan bumi Australia

429942646_969633327865977_4971837454762730065_n - Copy

JDT Racing Team menggunakan jentera Ducati Panigale V4R. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Mereka berharap agar litar sedia ada dibaiki dan dinaiktaraf supaya JDT Racing Team boleh berlatih dalam Johor sahaja tanpa perlu ke Sepang.

“Kan seronok kalau Johor Circuit masih lagi berfungsi,” ujar penyokong bernama Den Bee.

“Litar (di) Pasir Gudang perlu dibaiki dan dinaiktaraf,” cadang Hafiedz Becker pula.

“Diharap JDT Racing Team boleh membina litar untuk perancangan akan datang. Lokasi di Pasir Gudang sudah tak sesuai, cadangan saya di Simpang Renggam, Johor,” kata Mshamsul Isul. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram