Berlatih tanpa henti, Qabil Irfan dedah faktor kejayaan di bumi Barcelona


  • Podium
  • Ahad, 18 Ogos 2024

Qabil bersyukur dapat menamatkan perlumbaan di tempat pertama meskipun tidak berada dalam kelompok petak hadapan.

LAGU kebangsaan berkumandang di bumi Sepanyol selepas Qabil Irfan berjaya muncul juara kategori Moto 4 dalam perlumbaan kedua pusingan keempat Espana De Superbike di litar Barcelona, Catalunya pada 28 Julai lalu.

Qabil hanya raih kedudukan kelima di perlumbaan pertama, namun pada 28 Julai walaupun bermula di petak kelima Qabil membuktikan kehebatannya selepas ketepikan cabaran tiga perlumba teratas.

Atlet berusia 12 tahun itu banyak menghabiskan masanya bertahan di tempat kedua dan di lap terakhir Qabil lakukan kejutan selepas henjutan terbaik yang menghadiahkan kedudukan podium utama buat dirinya.

BACA LAGI: 'Dulu mungkin permusuhan sengit, kini JDT yang dominasi lawan Perak'

BACA LAGI: Endrick dos Santos sifatkan Liga Super lagi ‘kacang’ berbanding V-League

Berkongsi kepada Majoriti, Qabil bersyukur dapat menamatkan perlumbaan di tempat pertama meskipun tidak berada dalam kelompok petak hadapan.

"Alhamdulillah saya berjaya menamatkan perlumbaan nombor satu hari ini dan alhamdulillah ini rezeki saya untuk menang pada pusingan kali ini."

Anak jati Terengganu itu turut berkongsi rahsianya kejayaannya dalam menakluk bumi Eropah meskipun baru berusia 12 tahun.

"Saya buat latihan tanpa henti di Malaysia sebelum hadir ke Barcelona. Saya juga sempat melakukan uji cuba trek di sini (Barcelona) dan ia memberikan kelebihan buat saya.

"Ia kerana saya dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai litar dan garisan semasa uji cuba litar tempoh hari.

"Rahsia kejayaan saya ialah kerana saya lakukan latihan setiap hari dengan ada membuat sedikit persiapan kecergasan dengan membawa motosikal sebelum menyertai perlumbaan," katanya.

Qabil juga berkongsi rutinnya sebelum bermula perlumbaan dengan turut memberikan perkongsian mengimbangi pembelajaran dengan karier sukan permotorannya.

"Sebelum perlumbaan saya akan telefon ibu dan saya akan relaks untuk fokus ke hadapan kerana ia akan membuatkan perlumbaan lebih menarik.

"Saya biasa pergi sekolah dari pukul 7 pagi sampai 1 petang dan rehat untuk buat kerja sekolah.

"Dalam pukul 4 petang saya pergi turun trek buat latihan motosikal macam biasa.

"Harapan saya, boleh kekal di kelompok hadapan seperti di Barcelona dan berharap kekal di kelompok hadapan.

"Jangan lupa doakan kejayaan saya di Estoril, Portugal nanti," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram