Tarikh Amorim sertai Man United sudah ada, 4 bintang Sporting bakal ikut jejak ke Old Trafford


  • Podium
  • Khamis, 31 Okt 2024

Amorim akan menyertai United selepas rehat bola sepak antarabangsa.

KETIBAAN pengendali baharu Manchester United iaitu Ruben Amorim dilihat semakin hampir dengan pengurus muda dari Portugal itu bersedia untuk meninggalkan kelabnya iaitu Sporting Lisbon.

Dengan perbincangan antara kedua-dua pihak berlaku begitu pantas, Amorim dijangka berada di bangku simpanan United seawal perlawanan bertemu Chelsea pada pagi Isnin waktu Malaysia.

Namun begitu, menurut laporan di England, Amorim dijangka memulakan tugas sebagai pengendali baharu United dalam masa beberapa minggu.

BACA LAGI: Laju buat kerja, Ruben Amorim mungkin kendali aksi Man United seawal aksi bertemu Chelsea

BACA LAGI: Sebelum 'dirisik' Man United, Amorim rupanya pernah ditolak Liverpool sebab formasi

Hal ini kerana, Sporting hanya bersedia melepaskan Amorim ke United semasa pertengahan November sewaktu rehat bola sepak antarabangsa.

United sudah membayar klausa perlepasan sebanyak €10 juta (RM47 juta) untuk mendapatkan Amorim. Malah, United sudah membayar tambahan €1 juta (RM4.7 juta) kepada Sporting untuk membolehkan Amorim dilepaskan secepat mungkin.

gyokeres

Gyokeres mungkin akan ikut jejak langkah Amorim ke United.

Namun begitu, kelab gergasi Portugal itu mahukan €5 juta (RM24 juta) kepada United untuk membolehkan perkara itu berlaku.

Perlawanan terakhir Amorim bersama Sporting dijangka adalah pada 10 November ketika mereka bertemu Braga. Selepas itu, dia akan ke United semasa FIFA Matchday untuk membiasakan diri dengan suasana di sana.

Jika tiada aral, Amorim akan mengendalikan perlawanan pertama bersama The Red Devils menentang Ipswich Town pada 24 November.

Dalam pada itu, Amorim turut dilaporkan akan membawa empat pemain ke Old Trafford dengan salah satunya adalah penyerang terhangat di Eropah.

Penyerang Sweden, Victor Gyokeres dijangka akan mengikut jejak langkah Amorim ke Old Trafford. Untuk rekod, Gyokeres sudah menghasilkan 57 gol dalam 64 penampilan buat kelab pada musim lalu.

Tiga lagi nama yang boleh dibawa adalah pertahanan tengah iaitu Goncalo Inacio, Geny Catamo dan Morten Hjulmand.

Inacio merupakan pertahanan berkaki kiri yang bermain dengan baik dalam sistem tiga pertahanan diamalkan Amorim. Sementara Catamo adalah bek sayap (wing-back) yang mampu memberikan persaingan kepada Tyrell Malacia dan Luke Shaw.

Bagi Hjulmand pula, dia adalah penyelesaian kepada masalah bahagian tengah United yang sering overrun. Kehadirannya boleh memberikan gandingan baik bersama Bruno Fernandes dan Casemiro. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram