PEMERGIAN Erik ten Hag sebagai pengendali Manchester United membuka ruang kosong untuk kerusi jawatan tersebut buat masa sekarang.
Beberapa nama disebut-sebut dengan Zinedine Zidane dan Xavi Hernandez mendahului senarai sementara legenda kelab, Ruud van Nistelrooy menjadi pengendali sementara.
Kisah seorang bekas pemain United menjadi pengendali sementara kelihatan serupa dengan apa terjadi sebelum ini bersama Ole Gunnar Solskjaer dan The Red Devils tidak boleh melakukan kesilapan serupa seandainya bekas penyerang Belanda itu mampu menstabilkan kapal yang menanti masa untuk karam di Old Trafford.
BACA LAGI: Ten Hag akhirnya dipecat, Zidane dan Klopp antara 3 calon pengganti kekal Man United
BACA LAGI: Bukan Klopp, Zidane jauh sekali, coach Sporting nama paling panas ganti Ten Hag
Jangan jadikan RvN seperti Ole
Pelantikan Van Nistelrooy sebagai pengendali sementara harus kekal seperti itu tanpa menjadikannya pengurus tetap selepas beberapa ketika.
United harus belajar daripada situasi mereka dengan Solskjaer yang memberikan kontrak tetap selepas memberikan keputusan baik sewaktu menjadi pengendali sementara.
Reputasi Solskjaer di United tercalar kerana eranya sebagai pengurus.
Keputusan memberikan kontrak selama tiga tahun kepada Baby Faced Assassin kemudiannya tidak memberikan hasil diharapkan hingga prestasi United terus merudum.
Oleh itu, pengurusan United seharusnya belajar daripada situasi tersebut supaya mereka tidak mengulangi kesilapan sama bersama Van Nistelrooy.
Pengalaman masih sedikit
Satu lagi sebab mengapa mereka tidak boleh terbawa-bawa dengan kejayaan yang mungkin dihasilkan Van Nistelrooy adalah kerana pengalamannya masih sedikit.
Van Nistelrooy masih mempunyai pengalaman yang cukup mentah sebagai pengurus bola sepak. Sehingga kini, dia cuma mengendalikan dua pasukan di Belanda.
Pengalaman Van Nistelrooy masih mentah sebagai pengurus.
Dua pasukan tersebut adalah skuad muda PSV Eindhoven sebelum menguruskan skuad senior pada musim 2022/2023 di mana dia membimbing kelab itu menjadi naib juara di belakang Feyenoord kendalian Arne Slot.
Dengan pengalaman yang kurang, adalah lebih baik untuk United tidak memperjudi masa depan kelab walaupun Van Nistelrooy adalah legenda kelab.
Reputasi dalam ancaman
Selain daripada kekurangan pengalaman, reputasi juga berada dalam bahaya sekiranya Van Nistelrooy memperoleh kontrak tetap selepas tempoh interimnya.
Jika semasa menjadi pengurus tetap dia gagal memberikan persembahan baik, reputasinya sebagai legenda kelab akan tercalar sama seperti Solskjaer.
Solskjaer sebelum ini dianggap wira kelab ketika era bermain namun kini terdapat penyokong United berharap yang dia tidak lagi kembali sebagai pengurus.
Oleh itu, demi menjaga reputasi Van Nistelrooy, seeloknya biarlah dia kekal sebagai pengendali sementara sehingga pengurus sebenar tiba. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram