SELEPAS melepaskan Erik ten Hag, Manchester United mengambil langkah pantas dalam mencari pengganti dengan mereka menyasarkan pengendali Sporting Lisbon iaitu Ruben Amorim.
Amorim yang terdahulu dikaitkan dengan jawatan di Liverpool sebelum mereka memilih Arne Slot dijangka bakal menjadi pengurus baharu United dalam masa terdekat.
Hal ini kerana, United dilaporkan sudah mengaktifkan klausa perlepasan (release clause) bernilai €10 juta (RM47 juta) untuk membolehkan dia berpindah ke England.
BACA LAGI: Sebelum 'dirisik' Man United, Amorim rupanya pernah ditolak Liverpool sebab formasi
BACA LAGI: Bukan Klopp, Zidane jauh sekali, coach Sporting nama paling panas ganti Ten Hag
Amorim begitu berminat dengan posisi di United.
Laporan di England mendapati United dalam perbincangan lanjut bersama Amorim dengan pengurus muda itu berminat dengan projek dan visi kelab tersebut untuk kembali ke puncak bola sepak Inggeris.
Perbincangan antara kedua-dua pihak berjalan dengan sangat lancar dengan Amorim dijangka akan menjadi pengurus United seawal perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Chelsea pada 4 November.
Syaratnya, United dan Amorim perlu mencapai persetujuan mengenai terma-terma dalam kontrak dan jika ia berjaya dicapai, era baharu akan tiba di Old Trafford bersama pengurus muda dari Portugal.
Buat masa sekarang, Amorim mengelak untuk bercakap mengenai masa depannya di United walaupun dia dilaporkan begitu berminat dengan tawaran tersebut.
"Saya tak akan bercakap mengenai masa depan saya kerana apa pun terjadi, saya akan sentiasa bercakap mengenainya.
"Sejak hari pertama, saya katakan ia tidak berbaloi untuk bertanya mengenainya dan saya tidak akan memberikan komen mengenai masa depan saya. Saya bangga menjadi pengurus Sporting," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram