Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
BARANGKALI ia tidak pun bermaksud merendah-rendahkan Terengganu FC dan ketua jurulatih interimnya, Badrul Afzan Razali, yang masih tercari-cari kemenangan sulungnya selepas tiga perlawanan.
Tetapi kepada ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah, satu mata yang dibawa pulang skuad Hitam Putih itu dari Stadium Manjung pada Sabtu lebih kepada satu pemberian atau hadiah.
“Hari ini saya melihat Terengganu, selepas mereka ketinggalan (1-2 kepada sepakan penalti Luciano Guaycochea pada minit ke-57), mereka sentiasa berada di hadapan kami.
BACA LAGI: Nafuzi jurulatih paling tidak dicemburui dilemanya ketika ini
BACA LAGI: Penantian, kesabaran Fandi pada Agapov berbalas dengan tiga mata penting
Disebabkan itu, kami sentiasa dalam keadaan tertekan tapi Alhamdulillah kami mampu melaluinya.
“Kalau dilihat, dua jaringan mereka petang ni sebenarnya kita sedekah,” kata Yusri dalam sidang media selepas perlawanan yang dimuat naik di laman Facebook TBG TV.
“Sekali lagi saya katakan di sini saya ‘frust’ tiga mata tak dapat.”
Yusri Che Lah merupakan ketua jurulatih skuad Perak musim ini.
Sejak mengambil alih daripada Tomislav Steinbruckner yang bersetuju melepaskan jawatan ketua jurulatih pada 1 Okt lalu, Badrul Afzan meraih keputusan seri 1-1 dengan PDRM FC dalam perlawanan pertamanya mengendalikan pasukan pada 4 Oktober dan disusuli kekalahan 0-1 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 19 Oktober.
Perak FC yang mendahului perlawanan semalam seawal minit kesembilan melalui sepakan penalti Luka Milunovic, kemudian menyaksikan pelawat bangkit dengan gol Nelson Bonilla (m-44).
Selepas Guaycochea mengembalikan pendahuluan, sepakan penalti Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim (m-90+4) selepas pemain pertahanan, A. Shivan Pillay, mengasari Safwan Mazlan menghampakan tuan rumah.
“Kita sangat hampir nak dapatkan tiga mata tapi dihukum dengan satu lagi kelalaian di minit terakhir. Mungkin pemain lupa sekarang ada VAR, hari ini tiga penalti dijaringkan.
Walau bagaimanapun kredit kepada pemain, mereka telah berusaha hingga ke tahap tersebut.
“Walaupun kita tahu semua orang tidak menyukainya dalam keputusan seri ini, tetapi adalah lebih baik kita tidak tewas.
Segala perancangan kita sebenarnya, kalau dilihat atas kertas, kita tidak setaraf dengan pasukan lawan tapi pemain menunjukkan komitmen yang tinggi,” sambung Yusri.
Rangkuman perlawanan Perak menentang TFC di Stadium Manjung pada Sabtu.
Menyusuli sembilan mata yang diraih sepanjang bulan September mengalahkan Negeri Sembilan FC 1-0, Kuala Lumpur City FC 1-0 dan Sri Pahang FC 3-0 – skuad The Bos Gaurus (TBG) yang ketika itu melonjak setinggi tangga keempat liga kembali berpijak di bumi nyata apabila rebah 2-4 kepada Sabah FC dalam perlawanan pertama mereka di Stadium Manjung pada 19 Oktober.
“Walaupun kita bermula dengan baik dalam kedua-dua perlawanan (di Manjung), mungkin sekali lagi faktor fokus pemain menjadi satu perkara yang harus saya perkemaskan nanti. Kita sebenarnya tak perlu nak ‘commit’ pada minit-minit akhir ini.
“Saya perlu memperingatkan barisan pemain muda saya, Shivan baru 23 tahun, beliau harus faham VAR memberi perkara yang positif kepada pasukan lawan yang bijak menggunakan peluang.
“Kecewa memang kecewa... siapa yang seronok dengan seri. Tapi untuk pemain-pemain, saya gembira dengan aksi mereka walaupun tak semua menyukai (keputusan seri). Seandainya ia keputusan pengadil, kita harus terima,” tambahnya.
Sambil teruja dengan kedudukan Perak FC di tangga ketujuh ketika ini, Yusri bagaimanapun mengakui bahawa masih terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilakukan dengan jangkaan akan berdepan pasukan yang lebih kuat selepas ini.
Skuad TBG ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri menentang TFC.
Mereka akan menghadapi PDRM FC, pasukan liat yang tidak tewas dalam empat perlawanan lalu selepas mengalahkan Sabah FC 1-0 selain seri tiga kali berturut-turut dengan Terengganu FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, semuanya dengan keputusan 1-1 di Stadium Selayang pada 2 November dan selepas itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas dua kali perlawanan tertangguh disebabkan hujan lebat.
“(Perjalanan) masih lagi jauh, kita baru habis 12 perlawanan. Saya masih lagi mengatakan kita perlu bekerja lebih keras lagi kalau ingin mengekalkan kedudukan dan dalam masa sama cuba menempatkan diri seberapa segera dengan pasukan-pasukan di atas supaya tidak terlalu jauh ditinggalkan,” kata jurulatih itu.
Kecederaan terbaru pemain sayap, Azfar Fikri Azhar, semalam pada ketika Wan Zack Haikal Wan Noor dan Ariff Ar-Rasyid Ariffin belum cergas sepenuhnya, ditambah dengan penjaga gol, Haziq Nadzli, yang tidak boleh diturunkan menentang JDT atas dasar pemain pinjaman kelab Harimau Selatan itu, semuanya turut ada dalam congakannya.
“Jadi kita terpaksa gunakan pemain sedia ada ditambah dengan pemain bawah 23 tahun sahaja. Kita ada jumlah pemain yang terhad, ada 22 pemain sahaja dalam senarai ketika ini untuk meneruskan permainan dalam liga.
“Tapi bagi saya, saya OK, cumanya pemain harus faham dengan ‘demand’ dalam Liga Super, satu liga yang cukup tinggi seandainya mereka ingin menempatkan diri mereka dalam kancah bola sepak Malaysia.
“Saya rasa ini peluang untuk pemain semua. Seharusnya mereka menggunakan peluang yang disediakan oleh saya... dengan syarat perlu bekerja keras,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram