[VIDEO] Bergelut capai air ketika perlumbaan, atlet triathlon Belanda bangkit meski pernah rebah di garisan akhir


  • Podium
  • Ahad, 03 Nov 2024

Pengambilan air yang kurang menyaksikan Keulen rebah setelah melepasi garisan penamat di Singapura. — Agensi

PENGHIDRATAN merupakan sesuatu perkara penting bagi mana-mana atlet yang sedang berada dalam sesi latihan mahupun berentap kerana pengambilan cecair mencukupi penting bagi tubuh badan.

Malah, dalam sukan triathlon yang merangkumi tiga acara lasak iaitu berenang, berbasikal dan lumba lari lari, atlet perlu disediakan dengan jumlah air mencukupi sepanjang perlumbaan.

Penyediaan cecair mencukupi oleh pihak penganjur boleh memastikan kesemua peserta menamatkan perlumbaan dan tidak mengalami sebarang kesan sampingan yang teruk terhadap kesihatan masing-masing.

BACA LAGI: Akui ada kesilapan catatan masa, Syed Saddiq terima keputusan 113 Triathlon Desaru jadi DNF

BACA LAGI: Dihempap pokok, Syed Saddiq masih tamatkan cabaran Ironman Malaysia

Namun, kisah berbeza pula dialami atlet Belanda, Youri Keulen ketika bersaing dalam acara T100 di Singapura pada April lalu apabila dia gagal menerima botol air yang sedang dihulur sukarelawan.

Dalam video yang dimuat naik sebelum ini, dia yang sedang berbasikal cuba menerima air disediakan, namun tidak dapat berbuat demikian hingga menyebabkan lima daripadanya terjatuh daripada genggaman.

Bagaimanapun, insiden mencuit hati tersebut tidak mematahkan semangat atlet berusia 26 tahun berkenaan yang menjuarai perlumbaan itu selepas mencatatkan masa 3 jam 21 min dan satu saat, mengatasi pencabar terdekatnya, Sam Long dari Amerika Syarikat.

Kegagalan mendapatkan air itu memberi sedikit kesan kepadanya apabila dia dilaporkan rebah setelah melepasi garisan penamat sehingga terpaksa diberikan perhatian pihak perubatan.

Tetapi, Keulen tidak melihat insiden luar biasa itu sebagai sesuatu yang mematahkan semangatnya kerana kira-kira dua minggu selepas perlumbaan berkenaan, dia sempat bergurau mengenainya.

Berdasarkan satu video dimuat naik di Instagram peribadinya, atlet berkenaan dilihat sedang berlatih untuk cuba menggenggam botol dengan betul dan memastikannya tidak terlepas dari genggamannya.

Menariknya, klip itu memaparkan Keulen cukup serius dalam usahanya itu dengan lengkap berpakaian sebagai seorang peserta triathlon, namun pengikutnya melihat kelakuannya amat mencuit hati.

Malah, dia juga terus aktif dalam sukan berkenaan kerana baru-baru ini, dia menyertai beberapa siri perlumbaan sedemikian di Las Vegas, Amerika Syarikat dan Barcelona, Sepanyol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram