DUA individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun ditahan berhubung penemuan bayi lelaki yang baru dilahirkan ditinggalkan di Jalan Tong Sang, Sibu, Sarawak pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 44 tahun dan remaja perempuan itu akan direman pada Rabu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Zulkipli berkata, kira-kira pukul 8.30 pagi Selasa, Pusat Kawalan Daerah Sibu menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam yang melaporkan penemuan bayi lelaki yang masih hidup dalam tong sampah di sebuah rumah kedai di Jalan Tong Sang.
Bayi itu ditemui dalam keadaan plasenta dan tali pusat masih utuh dipercayai dilahirkan kurang 24 jam sebelum itu.
Saksi menemui bayi itu ketika melalui kawasan itu.
Zulkipli berkata, bayi seberat 1.48 kilogram itu telah dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan kesihatan.
Pemeriksaan awal menunjukkan bayi itu dilahirkan secara normal dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. — The Star/ANDY CHUA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram