AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara terbuka memohon maaf atas isu berkaitan Kejohanan Triathlon Antarabangsa Desaru 113 di Desaru, Johor pada 7 Julai lalu.
Saddiq menerima kecaman hebat daripada warga maya selepas dia dikatakan 'main tipu' hingga berjaya menamatkan saingan di kedudukan podium.
Namun begitu, dalam siaran di laman media sosialnya, Saddiq secara terbuka memohon maaf atas perkara tersebut.
BACA LAGI: 'Saya buat bukan sebab trofi', Syed Saddiq tunjuk bukti tak 'main tipu' di Desaru 113 Triathlon 2024
BACA LAGI: Syed Saddiq tamat larian 200km ke Parlimen
"Hai rakan-rakan sekalian, saya telah menerima kemas kini dan data terkini seperi diminta. Data yang diberi oleh pasukan teknikal ini merangkumi pecahan dari setiap pusingan. Selepas melakukan semakan, saya mendapati terdapat kesilapan daripada data diperoleh dari jam saya dan saya bertanggungjawab mengenai itu.
"Ia adalah kesalahan jujur dari bahagian saya. Walaupun sudah menyemak beberapa kali masalah tersebut ketika perlumbaan dan memberitahu pasukan teknikal, saya tetap perlu lebih bertanggungjawab sebagai peserta.
"Saya memohon maaf kepada seluruh komuniti triatlon," kata Saddiq.
Sebelum ini, tular pendedahan di media sosial yang mengatakan Saddiq menamatkan cabaran dalam masa 5 jam 44 minit 24 saat, ia membolehkan Saddiq meraih kedudukan ketiga.
Selepas semakan semula dibuat dan menyedari memang berlaku kesilapan, kedudukan masa Saddiq bertukar menjadi Did Not Finish (DNF) atau tidak menamatkan perlumbaan.
Pihak penganjur turut mengakui berlaku kesilapan di bahagian mereka. Oleh itu, mereka bersetuju untuk meletakkan status Saddiq sebagai DNF. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram