HOBI melukis sememangnya tidak asing lagi pada masa kini memandangkan ramai yang berminat meluangkan masa untuk mencipta karya seni yang indah.
Dengan kemudahan aplikasi yang tersedia dalam talian, setiap individu bebas menghasilkan pelbagai jenis lukisan dengan menggunakan idea tersendiri.
Salah satu gaya yang semakin popular adalah seni ilustrasi anime, yang mampu dihasilkan oleh gadis berbakat, Humaira Mohamad Soffri.
BACA LAGI: Tangkas memanah guna busur tradisional, Muhammad Khalif hidupkan sunnah Rasulullah di zaman moden
Merchandise yang direka khas oleh Humaira.
Pada waktu lapang, Humaira gemar menggunakan iPad untuk mencipta watak-watak dengan ciri khas anime seperti mata besar, ekspresi wajah dan gaya rambut yang unik.
Dalam karyanya, Humaira memilih untuk mengintegrasikan elemen nusantara bagi mencerminkan budaya tempatan.
"Saya rasa kalau buat ilustrasi dengan elemen nusantara lebih berkait dengan rakyat Malaysia. Saya panggil sebagai nusantara kerana Malaysia dan Indonesia tidak jauh beza dari sudut sesetengah kebudayaan.
"Sebagai contoh, Malaysia dan Indonesia sama-sama suka pakai kebaya. Saya ada hasilkan ilustrasi orang pakai baju kurung, ada patern batik, ada orang pakai kebaya. Saya juga kadangkala cipta anime etnik Kadazan dan etnik lain untuk jadi lebih lengkap.
"Kebanyakan yang saya cipta ilustrasi anime berbentuk perempuan kerana saya suka tengok cara wanita bersiap," katanya kepada Majoriti.
lustrasi berkonsep Cik Berkebaya dan Batik yang melambangkan tiga kaum yang bersilang budaya iaitu masyarakat Nyonya, Melayu dan Cheti.
Humaira berkata, pembelajaran yang diperoleh dalam universiti juga mendorongnya untuk berkembang lebih meluas dalam penghasilkan ilustrasi.
Perkembangannya dalam penghasilan lukisan ilustrasi bermula sejak gadis berusia 24 tahun itu mengambil pengajian Diploma dalam Animasi dan meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Rekaan Grafik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.
Humaira kini sedang meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Visual Komunikasi dan Media di UiTM Shah Alam.
Pintar menggunakan hobi, Humaira juga menjadikan lukisan ilustrasi yang dicipta sebagai satu cara untuk menjana pendapatan secara sambilan.
Ketika UiTM mengadakan program yang melibatkan jual beli, Humaira tidak ketinggalan untuk mempamerkan lukisan kreatif yang dibuatnya dengan mengenakan pembayaran sekitar RM3 hingga RM25 iaitu mengikut jenis lukisan.
"Biasa memang ramai pelajar yang beli kerana saya menjual dalam UiTM. Kadang-kadang kawan yang ambil animasi dan juga reka bentuk datang untuk sokong dengan cara beli," katanya.
Mini acrylic standee yang dibuat oleh Humaira.
Banyak jenis lukisan yang dihasilkannya seperti Art Print pelbagai saiz (A6, A5, Square dan A3), stiker, keychain, cermin poket dan mini acrylic standee.
Humaira berkata, mini acrylic standee yang dijualnya itu dibuat mengikut karakter yang direka khas.
"Saya lukis secara digital kemudian hantar ke kedai untuk dijadikan mini acrylic standee," katanya.
Tidak hanya itu, anak jati Sungai Petani, Kedah itu juga mencipta buku bertajuk Jom Pi Sungai Petani yang dapat digunakan sebagai panduan untuk pengunjung yang ingin hadir ke kawasan itu.
"Dalam buku guide itu ada seorang budak lelaki bernama Budi dan ada seekor burung kecil bernama Seri.
"Saya juga gunakan ilmu saya dalam animasi untuk tambah animation di dalam poskad yang terdapat dalam buku itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram