'Harap bantuan dari orang lain indah tapi bahaya', respons Daud Bakar 'hint' Kedah tolak DSAT Group?


  • Podium
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Kenyataan Mohd Daud itu tengah-tengah desas-desus mengenai minat ditunjukkan sebuah entiti syarikat untuk mengambil alih skuad Sang Kenari yang ketika ini dilanda masalah kewangan. — Facebook/KDA FC

"MENGHARAPKAN sesuatu bantuan dari orang lain adalah indah tetapi bahaya."

Demikian kenyataan terbaharu dikeluarkan pemilik Kedah Darul Aman (KDA), FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar pada Jumaat.

Kenyataan itu hadir di tengah-tengah desas-desus mengenai minat ditunjukkan sebuah entiti syarikat untuk mengambil alih skuad Sang Kenari yang ketika ini dilanda masalah kewangan.

BACA LAGI: Kedah sedia terima 'pinangan' DSAT siap pakej logo baharu, rupanya sudah dirisik sekian lama

BACA LAGI: Harapan palsu atau tidak, kepak Kenari pesan DSAT urus Kedah elok-elok jika dapat ambil alih

"Kita, semua keluarga KDA FC, banyak mengharapkan bantuan orang lain tetapi kebanyakannya tidak menjadi. Macam-macam alasan, rintangan dan juga perkara yang meragukan.

"Kita kecewa dan pemain serta pegawai serta staf KDA FC cukup terkesan serta sengsara. Namun, mengharapkan sesuatu dari diri dan keluarga kita sendiri mungkin lebih indah dan lebih diyakini.

"Kalau semua peminat dan penyokong Sang Kenari datang beramai-ramai, pasti akan terubat sedikit kesulitan dan kepayahan pasukan kita. Saya amat mengharapkan kita membantu sesama kita. Dari keluarga kepada keluarga," kata Mohd Daud dalam satu hantaran terbaharu dikongsikan di Facebook rasmi KDA FC.

2968847

Skuad Sang Kenari masih mengalami isu kewangan yang kronik sejak permulaan musim lalu. — Facebook/KDA FC

Menerusi kenyataan tersebut, Mohd Daud turut mengajak penyokong untuk turun ke Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Sabtu bagi menyokong skuad KDA FC yang akan bertemu Selangor FC dalam saingan Liga Super.

"Perjuangan serta legasi yang perlu dan wajib diteruskan," ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan sebuah syarikat konglomerat, DSAT Group Sdn Bhd menyatakan hasrat mengambil alih kesemua kepentingan saham dan liabiliti dalam Darulaman Football Club Sdn Bhd (DFCSB) sekali gus menjadi pemilik baharu pasukan KDA FC.

DSAT Group mengatakan yang mereka ingin mendapatkan pemilikan penuh terhadap Kedah walaupun pernah ditawarkan pegangan sebanyak 49 peratus sebelum ini pada 2023.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek dilaporkan berkata, pihaknya berharap tawaran berkenaan dipertimbangkan semua pihak berkepentingan dalam pengurusan tertinggi KDA FC bagi kebaikan semua pihak, terutamanya masa depan skuad Hijau Kuning.

Bagaimanapun, terdapat sesetengah penyokong tampil menyatakan kekhuatiran mengenai kredibiliti syarikat terbabit termasuk berkaitan dengan status sebenar kekayaan yang dipunyai pemilik perniagaan tersebut.

Terdahulu, Mohd Daud yang juga pemilik majoriti KDA FC dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, beliau mengalu-alukan minat ditunjukkan sebuah syarikat global untuk membeli keseluruhan kepentingan dan tanggungan kelab itu.

Susulan itu, beliau turut menyatakan keinginan untuk menjemput syarikat terbabit atau mana-mana individu atau syarikat lain yang berminat, bagi menghantar surat hasrat atau surat tawaran secara rasmi kepada KDA FC.

"Pihak pemegang saham KDA FC tidak ada halangan untuk mempertimbangkan mana-mana tawaran yang munasabah demi kepentingan dan kelangsungan KDA FC.

"Masa depan KDA FC adalah lebih penting daripada mana-mana kepentingan yang lain," katanya dalam kenyataan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram