Follower naik mendadak, fans Kedah korek habis maklumat bakal pemilik baharu, takut kena scam


  • Podium
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Kredibiliti Azizul (berbaju Melayu) amat meragukan penyokong Kedah.

BERITA mengenai hasrat pengambil alihan Kedah Darul Aman FC oleh DSAT Group Sdn Bhd yang diketuai oleh Datuk Seri Azizul Tandek mendapat perhatian luas khususnya peminat fanatik Sang Kenari.

Pada Khamis, DSAT Group menyambut baik pelawaan Kedah yang dimiliki oleh Tan Sri Dr Daud Bakar untuk menghantar surat tunjuk minat bagi mendapatkan pemilikan kelab itu.

DSAT Group mengatakan yang mereka ingin mendapatkan pemilikan penuh terhadap Kedah walaupun pada 2023 pernah ditawarkan pegangan sebanyak 49 peratus.

BACA LAGI: Kedah sedia terima 'pinangan' DSAT siap pakej logo baharu, rupanya sudah dirisik sekian lama

BACA LAGI: Harapan palsu atau tidak, kepak Kenari pesan DSAT urus Kedah elok-elok jika dapat ambil alih

WhatsApp Image 2024-11-01 at 02.25.53

Nama Azizul tiada dalam senarai penerima darjah kebesaran di Malaysia.

Khabar itu nyata memberikan sinar kepada penyokong Kedah yang mahukan masa depan lebih baik buat kelab. Ramai mengharapkan proses ambil alih itu akan berjalan lancar.

Namun, keraguan tetap hadir dalam kalangan penyokong Kedah. Ada yang meragui mengenai kredibiliti Azizul sebagai terutamanya dari segi kewangan dimilikinya.

Oleh itu, atas dasar sayang, mereka melancarkan siasatan untuk mencari siapakah sebenarnya Azizul ini. Adakah dia seorang yang legit atau tidak?

Hasilnya bagaimana pun menimbul kegusaran, siasatan yang dilakukan oleh penyokong mendapati alamat pejabat DSAT Group yang berpusat di Setapak, Kuala Lumpur terletak di sebuah taman perumahan.

WhatsApp Image 2024-11-01 at 02.26.18

Alamat pejabat DSAT Group di Setapak yang sebenarnya terletak di sebuah rumah.

Selain kredibiliti DSAT Group yang dipertikai, penyokong Kedah turut meragui status Datuk Seri yang dimiliki Azizul. Hasil siasatan mendapati, tiada nama Azizul dalam pangkalan data penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri diberikan kepada Azizul.

Malah, Azizul juga pernah terlibat dalam politik dengan apabila pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai.

Dalam pemilihan itu, Azizul yang mewakili Parti Kebangsaan Sabah (PKS) hilang deposit apabila memperoleh 20 undi sahaja dengan Sarifuddin Hata dari Parti Warisan Sabah muncul pemenang.

WhatsApp Image 2024-11-01 at 02.27.04

Azizul pernah bertanding dalam PRU14 tetapi hilang wang deposit.

Selain itu, sumber kekayaan Azizul turut menjadi perhatian apabila tular gambarnya berada dalam majlis menandatangani kerjasama dengan pihak daripada keluarga diraja Dubai.

Hal ini kerana, dalam gambar tersebut, terdapat sebuah telefon pintar dipercayai milik Azizul berada dalam keadaan tidak begitu elok. Ia sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong Kedah sama ada benarkah dia mempunyai wang?

WhatsApp Image 2024-11-01 at 02.25.54

Telefon pintar yang dipercayai milik Azizul berada dalam keadaan pecah.

Pengikut semakin ramai

Berita mengenai pengambil alihan Kedah oleh Azizul itu mendapat perhatian penyokong Kedah dan semestinya laman media sosialnya berada dalam pantauan.

Hasil daripada pemerhatian Majoriti, laman rasmi Facebook Azizul pada Khamis berada dalam sekitar 900 pengikut. Selepas kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Kedah, jumlah itu bertambah.

Screenshot 2024-11-01 105848

Laman Facebook Azizul Tandek menerima peningkatan jumlah pengikut.

Jumlah itu meningkat kepada 1,500 pengikut dengan pelbagai komen ditinggalkan oleh penyokong Kedah yang begitu ingin tahu mengenai status bakal pemilik baharu kelab terbabit.

Namun begitu, Azizul menutup ruangan komen dalam setiap siarannya. Berkemungkinan, dia mahu mengelak dengan menerima komen-komen 'murni' penyokong Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram