Penang FC bakal umum pengganti Akmal Rizal, tagih sokongan pemain terhadap Mat Saiful, Merzagua Abderrazak


  • Podium
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Akmal Rizal direhatkan daripada jawatan jurulatih Penang FC.

PENANG FC pada Jumaat mengambil keputusan untuk merehatkan jurulatih mereka iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli selepas Harimau Kumbang berada dalam rekod tanpa menang yang berpanjangan.

Dalam kenyataan dikeluarkan pihak kelab, Penang merehatkan Akmal dengan tempatnya diganti oleh Mat Saiful Mohamad dan dibantu oleh pengarah teknikal iaitu Merzagua Abderrazak.

Kedua-dua individu itu akan mengendalikan skuad Penang semasa mereka berdepan Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.

Kelab itu juga menagih sokongan pemain terhadap kedua-dua individu itu sepanjang ketiadaan Akmal Rizal yang dijangka dikekalkan menjadi jurulatih pasukan lain di bawah naungan Penang FC gara-gara masih memiliki kontrak.

BACA LAGI: 'Ibarat final', aksi TFC-Penang berpotensi ‘hidupkan’ semula musim suram

BACA LAGI: [VIDEO] 'Penang kilang Puskas', jaringan memukau keeper muda Harimau Kumbang imbau kenangan gol Faiz Subri

Akmal bagaimana pun akan terus kekal bersama Penang tetapi dia diberi peranan berbeza.

"Susulan daripada mesyuarat lembaga pengarah tersebut, satu keputusan telah dibuat untuk menggantikan jurulatih utama pasukan Liga Super Penang FC dengan jurulatih yang lebih berpengalaman dalam Liga Super bagi meningkatkan prestasi serta persaingan pasukan Liga Super Penang FC.

"Usaha dan dedikasi Akmal Rizal adalah amat dihargai dan memandangkan beliau masih mempunyai kontrak bersama dengan Penang FC, beliau akan dikekalkan bagi meneraju pasukan lain di bawah Penang FC," kata Penang.

Pada masa sama, pencarian pengendali baharu yang lebih berpengalaman sedang dijalankan oleh Penang bagi menggantikan tempat Akmal.

Menurut mereka, beberapa nama sedang dipertimbang untuk mengambil alih dan keputusan dijangka akan dilakukan tidak lama lagi.

"Terdapat beberapa orang calon jurulatih utama yang telah dikenal pasti oleh pihak Lembaga Pengarah dan perbincangan bagi memuktamadkan kontrak telah pun bermula sejak 21 Oktober 2024. Ketua jurulatih yang baharu akan diumumkan sejurus selepas perkara dalam kontrak dimuktamadkan tidak lama lagi," ujar Penang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram