MEMASUKI pertengahan musim Liga Super, sudah kelihatan beberapa kelab sudah bertukar jurulatih dengan Selangor FC salah satu daripadanya selepas peletakan jawatan Nidzam Jamil.
Peletakan jawatan Nidzam itu mengejutkan ramai pihak ditambah dengan Selangor sedang berada dalam posisi baik di Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Kini, Nidzam bebas untuk menyertai mana-mana kelab dengan Terengganu FC dilihat sebagai satu destinasi ideal untuknya.
BACA LAGI: Nidzam Jamil ikut langkah Nafuzi, 2 coach Liga Super termasuk JDT tinggalkan kelab sedang cemerlang
BACA LAGI: Nidzam Jamil letak jawatan, DNA Korea jadi pilihan Selangor FC?
Terengganu boleh menjadi destinasi seterusnya buat Nidzam.
Dengan Terengganu kini menggunakan khidmat Badrul Afzan sebagai pengendali sementara, Terengganu boleh mempertimbang untuk mendapatkan Nidzam sebagai jurulatih baharu.
Buat masa ini, belum lagi ada minat yang konkrit ditonjolkan oleh Terengganu terhadap Nidzam. Tapi seandainya mereka mahukannya, Terengganu perlu segera mendapatkan Nidzam.
Bagi legenda bola sepak Terengganu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor, dia berpendapat Nidzam adalah seorang jurulatih yang boleh menyerap tekanan jika bersama skuad Penyu.
"Jika Terengganu benar mahukan Nidzam, kita boleh lihat pencapaian semasa dia bersama Selangor. Bersama Selangor, dia mempunyai rekod sangat baik seperti berada di tempat kedua liga dan memasuki perlawanan akhir Piala FA.
"Berbanding dengan kedudukan Terengganu yang berada di tempat ketiga, keempat, ia pasti tidak memberikan tekanan untuk Nidzam," kata Che Ku Marzuki kepada Majoriti.
Tambah Che Ku Maruzki lagi, sekiranya Terengganu benar mahukan Nidzam, mereka harus bertindak segara supaya 'kapal' boleh distabilkan.
Pengurusan Terengganu harus mendapatkan Nidzam sebelum Piala Malaysia bermula iaitu selepas FIFA Matchday yang diadakan pada pertengahan November.
"Sekiranya Terengganu berminat dengan Nidzam, dengan baki perlawanan yang ada, lebih sesuai untuk mereka mendapatkannya bagi persiapan Piala Malaysia.
"Bukan sekadar untuk fokus kepada Liga Super, cuma kekalkan kedudukan nombor tiga dalam liga," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram