Nidzam Jamil ikut langkah Nafuzi, 2 coach Liga Super termasuk JDT tinggalkan kelab sedang cemerlang


  • Podium
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Nidzam (kiri) dan Nafuzi pernah mengalami situasi mendesak sehingga terpaksa meninggalkan pasukan masing-masing.

BERITA pengunduran Nidzam Jamil daripada jawatannya sebagai pengendali Selangor FC masih menimbulkan tanda tanya kerana penyokong masih meminta penjelasan daripada pihak pengurusan.

Dia yang memikul peranan itu sejak awal musim pada awalnya sukar mencuri hati orang ramai memandangkan imej megah pasukan tersebut dikhuatiri akan menimbulkan tekanan.

Namun, cabaran tersebut mudah diharungi Nidzam bersama skuad Gergasi Merah yang menampilkan permulaan cemerlang sehingga membolehkan mereka kekal di kedudukan kedua Liga Super.

BACA LAGI: Nidzam Jamil letak jawatan, DNA Korea jadi pilihan Selangor FC?

BACA LAGI: Dimalukan JDT tapi ideologi Nidzam Jamil turunkan 'Selangor B' menangi hati fans Gergasi Merah

Selain itu, pasukan Lembah Klang berkenaan turut melangkah ke perlawanan akhir Piala FA yang menceritakan sentuhan jurulatih berusia 44 tahun tersebut mula membuahkan hasil.

Tetapi, kedudukan tersebut seperti gagal memuaskan hati penyokong dan pihak pengurusan kelab yang meletakkan harapan terlalu tinggi sehingga mendesak Nidzam mengundur diri.

Hal itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pendiriannya untuk meninggalkan pasukan dicintainya itu ketika mereka berada dalam prestasi memuaskan hati.

Namun, dia bukanlah yang pertama berbuat demikian kerana beberapa tahun kebelakangan ini, peminat pernah menyaksikan perkara tersebut berlaku dengan sesetengah daripadanya cukup mengejutkan.

1. Nafuzi Zain (Terengganu FC, 2022)

Pada 2022, Terengganu FC sememangnya cukup sempurna dengan pasukan Pantai Timur itu diperkuatkan barisan bintang tempatan berkualiti dan import serba lengkap.

Namun, perhatian sebenar dalam skuad Sang Penyu sudah tentu diberikan kepada ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang menerapkan taktikal bertenaga serta bijak menyusun pemainnya.

Nafuzi-Zain-10

Nidzam meninggalkan skuad Sang Penyu berikutan krisis pengurusan.

Kehadirannya menyaksikan kelab berkenaan melangkah ke perlawanan akhir Piala FA sebelum menamatkan kempen Liga Super di tangga kedua, sekali gus menempah nama ke Piala AFC musim berikutnya.

Tetapi, berikutan percanggan pendapat dengan pihak pengurusan kelab, pengendali kelahiran Kelantan berkenaan tidak menyambung kontrak pada penghujung tahun.

Meskipun perkara berkenaan sudah diketahui umum, keputusannya seakan-akan sukar diterima penyokong Terengganu FC yang mengharapkannya kekal sebelum terpaksa akur menyaksikannya menyertai Kedah Darul Aman FC.

2. Esteban Solari (JDT, 2023)

Seperti kebiasaan, Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini kelihatan cukup sempurna dengan lambakan pemain import melengkapkan pasukan yang sememangnya sukar ditandingi itu.

Tetapi, tidak boleh dinafikan bahawa skuad Harimau Selatan pada 2023 adalah pasukan yang terbaik pernah disaksikan dengan rekod demi rekod dicatatkan.

Sentuhan pengendali dari Argentina, Esteban Solari merupakan kunci di sebalik kejayaan itu memandangkan jurulatih berkenaan pernah berkhidmat bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negaranya.

2586421

Solari menjadikan skuad Harimau Selatan serba lengkap.

Bagaimanapun, ia masih tidak cukup baginya kekal kerana pada penghujung musim berkenaan, JDT mengumumkan khidmatnya tidak dikekalkan dengan peranan pengurus kemudian diisi Hector Bidoglio.

Keputusan itu sememangnya mengejutkan kerana Solari boleh dikatakan jurulatih terbaik pernah disaksikan skuad Harimau Selatan yang mencatatkan treble di peringkat domestik.

Enggan kecewa dengan perkara itu, pengendali berusia 44 tahun tersebut kemudiannya menyertai kelab Chile, Everton del Mar pada awal tahun lalu demi meneruskan kariernya.

3. Tan Cheng Hoe (Kedah, 2017)

Sebelum Nidzam Jamil memikul peranan sebagai ketua jurulatih Selangor FC, peranan itu sebelumnya dipikul Tan Cheng Hoe yang sudah bersama kelab berkenaan sejak 2022.

Kisah seakan-akan sama dapat disaksikan kerana pengendali kelahiran Kedah berkenaan turut meninggalkan pasukannya ketika berada di tahap cemerlang berikutan kejayaan mengesahkan slot ke pentas Asia.

Namun, ia bukanlah kali pertama dia berbuat demikian kerana pada 2017, bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu membuat keputusan mengejut dengan meninggalkan skuad Sang Kenari.

1786810

Cheng Hoe (atas) meninggalkan skuad Sang Kenari untuk menyertai Harimau Malaya.

Ketika itu, pasukan Utara tanah air berkenaan berada di kemuncak Liga Super selain sedang menikmati kempen Piala FA yang cemerlang di pusingan suku akhir.

Tetapi, secara tiba-tiba, Cheng Hoe membuat pengumuman meninggalkan pasukannya pada April tahun itu untuk membolehkannya menyertai Nelo Vingada dalam skuad kebangsaan.

Keputusan itu masih menjadi perbualan sehingga hari ini kerana masing-masing berasa sangsi akan tindakannya meninggalkan Kedah yang berada dalam landasan mencabar kejuaraan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram