KETUA jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil secara rasminya berpisah dengan Gergasi Merah selepas mengendalikan pasukan berkenaan dalam 13 perlawanan Liga Super musim 2024/2025.
Jurulatih berusia 44 tahun itu mengambil alih tugas daripada rakan sejawat, Tan Cheng Hoe yang meninggalkan Gergasi Merah untuk ke Thailand bagi membimbing pasukan Police Tero pada awal tahun ini.
Perkembangan dikongsikan oleh media sosial rasmi kelab pada Rabu itu sekali gus membuka ruang untuk Gergasi Merah mendapatkan sentuhan baharu dengan jurulatih import boleh menjadi sasaran mereka.
BACA LAGI: Kecewa tewas kepada JDT, namun Nidzam lega duo tonggak kembali kuatkan Selangor bertemu Kedah
"Selangor FC mengumumkan bahawa Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil telah meletakkan jawatannya, berkuatkuasa serta-merta. Beliau telah memohon untuk mengundur diri dari mengemudi pasukan utama Selangor FC dan pihak kelab menghormati keputusan beliau.
Kelab ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Nidzam Jamil atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya," memetik kenyataan Selangor FC pada Rabu.
Sehubungan dengan keputusan pengendali berusia 44 tahun itu, Selangor pastinya sedang menyusun kembali calon-calon jurulatih yang boleh membantu Gergasi Merah mengharungi saingan mencabar musim ini.
Antara nama jurulatih import yang didambakan penyokong Gergasi Merah ialah Park Hang-seo lagi-lagi sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon tidak menafikan minatnya terhadap bekas pengendali Vietnam, Park Hang-seo.
Selain Hang-seo, ada juga suara-suara penyokong kelab lain yang mencadangkan agar Selangor mengambil khidmat bekas pengendali Terengganu FC (TFC) iaitu Tomislav Steinbruckner.
Cadangan dari laman penyokong Terengganu, We Bleed Black & White itu dibuat sebagai usikan dek Steinbruckner turut meninggalkan Sang Penyu selepas gagal menghidang aksi konsisten.
Hang-seo memiliki rekod cukup baik sepanjang kira enam tahun mengendalikan Vietnam. — Agensi
Sementara menunggu ketua jurulatih baharu tiba, Selangor kini di bawah bimbingan penolong jurularih, Abdi Hassan secara interim.
Dalam pada itu, di bawah bimbingan Nidzam sebagai pengendali, Selangor kini sedang berada di antara kelompok teratas liga, muncul naib juara Piala FA musim ini, serta menduduki tempat teratas Kumpulan H untuk saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Bukan itu sahaja, Nidzam juga banyak memupuk semangat kompetitif dalam kalangan pemain dan kepimpinan belia memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi pasukan sehingga kini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram