SEHINGGA hari ini, hala tuju Tan Cheng Hoe masih belum dikenal pasti dengan bekas pengendali Harimau Malaya itu masih tidak bersama mana-mana pasukan.
Dia yang sebelum ini mencuba nasib di luar negara bersama Police Tero FC dalam Liga Thailand jelas bergelut apabila pasukannya 'jatuh' ke divisyen kedua berikutan prestasi tidak menentu.
Sejak itu, pengendali berusia 56 tahun berkenaan tidak lagi membimbing mana-mana kelab meskipun pernah menyatakan hasrat untuk kembali ke bidang berkenaan.
BACA LAGI: Cheng Hoe dimahu ramai, tapi Nafuzi masih calon ideal kendali Sang Penyu
BACA LAGI: Selesaikan isu tunggakan dahulu, baru fikir lantik Cheng Hoe — Legenda Terengganu
Kepulangan Cheng Hoe ke skuad Gergasi Merah pasti diharap-harapkan. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, kebelakangan ini, peluang kelihatan kian cerah buat jurulatih itu memandangkan beberapa kelab di Liga Super giat mencari ketua jurulatih baharu.
Ini termasuk pasukan di tangga kedua, Selangor FC yang pada Rabu memilih melepaskan jawatannya meskipun mereka berada dalam prestasi memuaskan di peringkat domestik mahupun Asia.
Kelab Lembah Klang berkenaan boleh dikatakan destinasi terbaik buatnya kerana kedua-dua mereka pernah mencipta keserasian tahun lalu dengan Cheng Hoe berjaya membawa mereka layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Namun, keretakan hubungan dengan pihak pengurusan menyaksikan beliau mengundur diri dan menyertai Police Tero FC yang menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat.
Akmal Rizal sudah direhatkan akibat prestasi kurang memberangsangkan. — Facebook/Penang FC
Selain itu, Penang FC pasti tertarik dengan sentuhan Cheng Hoe selepas mereka merehatkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli berikutan prestasi tidak memuaskan sepanjang musim.
Mereka yang berada di tangga ke-11 Liga Super sudah tentu mahukan perubahan drastik untuk sekurang-kurangnya menarik penyokong ke stadium bagi setiap perlawanan.
Tetapi, persoalannya, adakah pihak pengurusan kelab Utara tanah air itu sanggup mengeluarkan kos tinggi untuk mendapatkan khidmatnya, namun tidak dapat mengubah situasi pasukan.
Terengganu FC merupakan sebuah lagi destinasi terbaik buat jurulatih kelahiran Kedah berkenaan kerana mereka hanya meletakkan Badrul Afzan Razali di posisi itu secara sementara.
Kehilangan Tomislav masih belum digantikan dengan baik oleh skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Dia yang hadir berikutan pemecatan Tomislav Steinbruckner juga bergelut untuk membawa sebarang perubahan meskipun skuad Sang Penyu memiliki lambakan pemain bintang.
Jadi, kelab Pantai Timur itu dilihat sebagai pilihan terbaik dimiliki Cheng Hoe sekiranya dia mahu kepulangan segera ke dalam dunia kejurulatihan.
Lambakan pilihan, keberadaan pemain yang pernah menjadi anak didiknya selain situasi kewangan kelab menjadi antara faktor baginya menerima tawaran sekiranya diberikan.
Bagaimanapun, pilihan masih berada di tangannya sama ada mahu kembali ke bidang berkenaan dalam masa terdekat ataupun mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga terlebih dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram