PENCARIAN ketua jurulatih baharu Terengganu FC diteruskan bagi mencari calon terbaik untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Tomislav Steinbruckner yang direhatkan akibat prestasi tidak menentu pasukan itu.
Ketika ini, nama yang hangat diperkatakan ialah Nafuzi Zain yang pernah mengendalikan skuad Sang Penyu selama empat musim dengan pelbagai perubahan dapat disaksikan.
Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikannya kembali ke Pantai Timur adalah sedikit tipis memandangkan kontraknya bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC masih berbaki dengan skuad Sang Kenari seperti enggan melepaskan khidmatnya.
BACA LAGI: Karikatur laksamana legenda Melaka jadi kiasan Cheng Hoe hampir ke Terengganu
BACA LAGI: Cheng Hoe belum mahu 'pulang', puji sentuhan Nidzam Jamil bersama Selangor
Harapan diletakkan penyokong untuk menyaksikan kepulangan Nafuzi. — Facebook/Terengganu FC
Jadi, alternatif terbaik dimiliki Terengganu FC ketika ini adalah dengan melantik bekas ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe yang kini tidak bersama mana-mana pasukan selepas khidmatnya ditamatkan kelab Thailand, Police Tero FC.
Spekulasi mengaitkan kedua-dua pihak itu timbul selepas penyokong kelab berkenaan amat mengharapkan kehadiran pengendali yang memiliki pengalaman luas dalam arena bola sepak tanah air.
Tambahan pula, status Cheng Hoe yang terbuka untuk mengendalikan mana-mana pasukan membuatkannya calon terbaik untuk membantu menambah baik musim Terengganu FC yang sedikit malap setakat ini.
Bagaimanapun, bagi legenda Terengganu, Che Ku Marzuki, pasukan itu memiliki perkara lebih besar untuk diselesaikan sebelum boleh melantik Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih.
Cheng Hoe tidak aktif membimbing mana-mana pasukan selepas direhatkan Police Tero FC. — Facebook/Police Tero FC
"Berita coach Cheng Hoe ke Terengganu FC tu buat masa sekarang, hanya khabar angin sahaja, ini hanya berita daripada penyokong. Terengganu FC kini alami masalah kewangan dengan gaji pemain pun tidak dijelaskan lagi, apatah lagi nak ambil coach Cheng Hoe pula.
"Tetapi, tidak tahulah pula situasi untuk musim akan datang. Sekiranya kedudukan liga masih 'yoyo', kemungkinan mereka akan membawa masuk seorang jurulatih baharu," katanya kepada Majoriti.
Masalah tunggakan gaji yang dimaksudkan adalah apabila terdapat laporan minggu lalu mengatakan kelab itu masih berhutang dengan bekas penyerang, Adisak Kraisorn dengan jumlah tunggakan dilaporkan mencecah lima angka.
Walaupun Terengganu FC menegaskan mereka tidak berdepan sebarang isu untuk menyelesaikannya, hal tersebut perlu diberikan tumpuan terlebih dahulu sebelum mencari pengendali baharu.
Che Ku berasakan Terengganu mempunyai isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. — Terengganu 11
Dalam pada itu, Che Ku beranggapan skuad Sang Penyu perlu mengekalkan barisan kejurulatihan semasa sehingga penghujung musim sambil mempersoalkan keputusan pasukan tersebut merehatkan Tomislav.
"Buat masa sekarang, saya lihat semua jurulatih luar tidak sesuai. Tetapi, soalannya, kenapa coach Tomi diminta berhenti? Pada saya, ini kerana dia ada masalah dengan pemain, tetapi bukan dengan pegawai.
"Saya juga berasakan untuk musim ini, adalah lebih baik dengan mengekalkan coach Badrul (Afzan Razali) dan Hairuddin Omar," katanya lagi.
Selepas mengharungi 11 aksi Liga Super 2024/25, skuad Sang Penyu berada di kedudukan ketiga dengan lapan mata membezakan mereka dengan Selangor FC yang memiliki slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram