BARISAN perseorangan lelaki negara dijangka akan kembali dikuatkan dengan kehadiran semula Ng Tze Yong ke dalam skuad.
Hal ini kerana, Tze Yong dilaporkan menghampiri untuk beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan.
Memetik laporan Buletin TV3, jurulatih perseorangan lelaki negara, K.Yogendran berkata Tze Yong menunjukkan tanda-tanda positif dalam latihan dan itu adalah baik untuknya.
BACA LAGI: Demi kesihatan, Ng Tze Yong sanggup lepaskan peluang layak ke Sukan Olimpik
BACA LAGI: Rashid Sidek anggap ada hikmah buat Tze Yong lepas tarik diri Sukan Olimpik, Piala Thomas
Situasi semasa Tze Yong buat masa ini berada dalam keadaan tidak bersedia. Hal ini kerana, pemain itu masih lagi berada di tahap rendah berkaitan kualiti fizikal dan mentalnya.
Walaupun dilihat bersemangat untuk kembali beraksi, tetapi Tze Yong hanya akan kembali beraksi apabila dia benar-benar bersedia dalam kedua-dua aspek.
"Kita ada bincang dengan Tze Yong dan nak dia bersedia daripada pelbagai aspek seperti kekuatan mental dan fizikal.
"Kita tak mahu dia pergi ke kejohanan dalam keadaan 50-50 selepas itu cedera semula," ujarnya.
Tambah Yogendran lagi, Tze Yong berada dalam posisi baik untuk kembali beraksi selepas menunjukkan peningkatan semasa latihan. Namun begitu, dia tidak mahu terburu-buru membenarkan Tze Yong beraksi semula memandangkan pemain itu adalah prospek negara di Sukan Olimpik 2028.
Pemain perseorangan itu dijangka boleh kembali semula beraksi pada musim 2025 sekiranya persediaan pasca kecederaan berjalan dengan baik.
"Dia adalah prospek Sukan Olimpik 2028 nanti. Jadi kenapa kita nak paksa sekarang dan selepas itu dia kembali cedera lagi. Itu amat merugikan.
"Kalau lihat keadaan dia sekarang, boleh dikatakan sudah 30 peratus semakin baik dan dia berlatih setiap hari. Saya lihat ada peningkatan dari semasa ke semasa dan kita pun tingkatkan intensiti latihannya sedikit demi sedikit," komen Yogendran.
Akibat kecederaan dialami Tze Yong, rankingnya jatuh merudum dan kini menduduki kedudikan ke-101 dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram