SEJAK dulu, bola sepak Malaysia sering diwarnai oleh bintang bola sepak dari masyarakat India. Malah, hingga kini, masih terdapat nama-nama yang terus mencuri tumpuan kita semua dengan aksi-aksi mereka di padang.
Kepantasan dalam larian, kelincahan ketika menggelecek serta teguhnya sewaktu bertahan membuatkan pengikut bola sepak tempatan tidak melupakan nama-nama yang mewarnai kancah Liga Super.
Sempen sambutan Deepavali, Majoriti menyingkap legenda moden Liga Super dalam kalangan masyarakat India.
BACA LAGI: Cepatkan urusan ambil alih, pemain Sang Kenari sangat perlukan bantuan — Pakar
BACA LAGI: Bukan setakat Asia, Eropah kini semakin ramai bintang badminton
S. Kunanlan
Satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Kunanlan merupakan salah seorang pemain sayap yang terulung dalam sejarah moden bola sepak Malaysia.
Larian deras serta kelincahan dalam menggelecek membuatkan Kunanlan begitu berbahaya setiap kali beraksi. Letak saja di sayap kiri atau kanan, Kunanlan pasti berbahaya.
Kunanlan merupakan pemenang Piala Asean 2010 bersama Harimau Malaya.
Kunanlan memenangi segalanya dalam kariernya terutamanya sewaktu bersama Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta'zim. Malah, dia juga turut meraih gelaran pemenang Piala AFC pada 2015.
Kunanlan juga merupakan sebahagian daripada skuad Harimau Malaya yang berjaya memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA 2009 serta gelaran tunggal Piala Asean (dikenali Piala AFF) pada 2010.
Kenny Pallraj
Seorang lagi pemain berbangsa India yang menjadi perhatian ramai di era moden adalah Kenny Pallraj.
Merupakan pemain tengah, Kenny sering diingati terutamanya oleh penyokong Perak FC kerana dia hadir daripada sistem pemain muda The Bos Gaurus sebelum bersama skuad senior.
Kenny memenangi Piala Malaysia sebanyak dua kali.
Sepanjang karier, Kenny bermain untuk Perak dan Kuala Lumpur City FC sambil pernah beraksi bersama-sama Harimau Muda sewaktu bertanding di Liga Singapura pada 2015.
Kenny terlibat dalam dua perlawanan akhir Piala Malaysia yang dianggap antara yang terbaik bagi era moden iaitu edisi 2018 dan 2021. Lebih menarik, Kenny memenangi kedua-duanya bersama Perak dan KL City.
S. Subramaniam
Merupakan salah seorang pertahanan berkualiti di eranya, S. Subramaniam juga merupakan pemain berbangsa India yang terulung dihasilkan negara pada era moden.
Pertahanan tengah itu sama seperti Kunanlan apabila dia berjaya memenangi segala gelaran domestik di Malaysia terutamanya bersama Kelantan FC.
Subramaniam (kiri) meraih gelaran treble bersama Kelantan pada 2012.
Dia dikenang sebagai salah seorang daripada alumni skuad The Red Warriors yang meraih gelaran treble pada 2012 yang menyaksikan Kelantan berada di puncak bola sepak Malaysia.
Subramaniam juga merupakan seorang watak yang popular dalam kalangan penyokong Kelantan kerana kualitinya sebagai pemain ketika bersama mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram