[VIDEO] Sayang tak pernah pudar, Andik Vermansyah antara 3 ex import pernah hadir beri sokongan buat kelab lama


  • Podium
  • Rabu, 30 Okt 2024

Dari kiri: Issey Nakajima, Diakite dan Andik membuktikan kecintaan mereka terhadap pasukan lama masih tidak luntur.

ARENA bola sepak tanah air sememangnya tidak pernah lekang dengan kebanjiran pemain import yang boleh dianggap sebagai kunci di sebalik kejayaan sesebuah pasukan.

Meskipun ada yang berasakan kehadiran mereka menyekat perkembangan bakat tanah air, sukar dinafikan sumbangan mereka cukup penting, lebih-lebih lagi setiap kali melangkah ke pentas Asia.

Namun, sudah menjadi rencah Liga Super bahawa sebahagian besar import hanya akan kekal untuk semusim sebelum memilih untuk membuka lembaran sekitar Asia Tenggara.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Minta maaf saya kepala', import Selangor Pistons salah baca 'arahan'

BACA LAGI: Dengar cakap otai, 3 calon jurulatih import termasuk bekas staf Porto sesuai kemudi kapal TFC

Tetapi, masih ada sesetengah daripada mereka yang menghabiskan masa beberapa tahun dalam arena bola sepak tempatan kerana tertarik dengan tradisi setempat.

Lebih menarik lagi, ada juga yang seakan-akan tidak dapat melupakan kenangan itu sehingga sempat meluangkan masa menonton aksi kelab lama secara langsung di stadium.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga bekas import yang kembali memberi sokongan kepada pasukan terdahulu meskipun sudah bertahun-tahun membuka lembaran baharu dalam kariernya.

1. Andik Vermansah (Selangor)

Dalam aksi Liga Super antara Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Ahad lalu, penyokong kedua-dua kelab itu hadir membanjiri Stadium MBPJ, Selangor.

Namun, apa yang menarik adalah kerana dalam kalangan ribuan penonton yang hadir, skuad Gergasi Merah menerima tetamu istimewa yang merupakan seseorang cukup bermakna buat pasukan tersebut.

464730072_981689653997848_2307890925767413662_n

Andik meluangkan masa di Stadium MBPJ, Selangor pada Jumaat lalu.

Ini kerana bekas penyerang sayap mereka, Andik Vermansah hadir menyaksikan pertembungan itu sambil menyarung jersi kelab Lembah Klang berkenaan musim ini.

Lebih menarik lagi, jersi dipakai bekas bintang antarabangsa Indonesia itu menampilkan nama 'Supermokh' dan nombor 10 di belakangnya sebagai penghormatan kepada legenda kelab, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Meskipun kehadirannya tidak membawa kemenangan buat Selangor FC, kehadiran Andik sedikit sebanyak menceritakan keakrabannya buat pasukan berkenaan.

2. Pape Diakite (Terengganu)

Pada musim terakhir Nafuzi Zain bersama Terengganu FC, kehadiran pemain import Afrika membolehkan pasukan itu bersaing dengan serba lengkap, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Salah seorang daripadanya ialah pemain kelahiran Senegal, Pape Diakite yang beraksi sebagai pertahanan tengah dengan dia sering diganding Shahrul Nizam Ros Hasni.

Pemain tinggi lampai itu cukup kental setiap kali diturunkan dengan kelibatnya amat dirindui memandangkan dia hanya menghabiskan masa semusim bersama pasukan Pantai Timur tersebut.

Perasaan berkenaan turut dikongsikannya kerana beberapa minggu setelah dilepaskan, bek tengah terbabit sempat menghadirkan diri ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor untuk menyaksikan aksi Piala Sumbangsih antara JDT dan pasukan lamanya itu.

Ini berdasarkan rakaman penyokong lain yang mendapati Diakite hadir bersama beberapa rakannya dengan perlawanan itu berakhir dengan kemenangan buat tuan rumah.

3. Issey Nakajima (Terengganu)

Sepanjang tempoh pramusim yang lalu, Terengganu FC menjadi salah sebuah pasukan paling sibuk mengadakan aksi persahabatan dengan skuad muda mereka tidak terkecuali menyertainya.

Meskipun hampir kesemua aksi tersebut kurang menarik penyokong, ia tidak menghalang salah seorang daripada bekas pemain kelab itu daripada hadir menyaksikan perlawanan berlangsung.

Issey Nakajima-Farran yang merupakan bekas pemain antarabangsa Kanada sempat menghadirkan diri ketika Terengganu FC II berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu, bekas penyerang skuad Sang Penyu itu seperti melepaskan kerinduan terhadap pasukan yang menagih khidmatnya selama tiga musim itu.

Malah, kehadirannya turut menyaksikannya memberi sokongan kepada bekas rakan sepasukan, Hairudin Omar yang ketika itu mengendalikan skuad pelapis Sang Penyu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram