NASIB pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli boleh diibaratkan telur di hujung tanduk memandangkan pasukan berkenaan hanya merekodkan dua mata daripada lima perlawanan terakhir.
Prestasi yang jelas mengecewakan itu menyaksikan skuad Harimau Kumbang berada di kedudukan ke-11 Liga Super, hanya lima mata dibezakan dengan pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat khabar angin mengatakan pihak pengurusan kelab sudah melakukan perbincangan untuk merombak barisan kejurulatihan mereka dalam masa terdekat.
BACA LAGI: Terlalu banyak kerja dalam masa semakin suntuk buat Akmal Rizal
BACA LAGI: Akmal Rizal mungkin direhatkan, nama legenda diseru jadi pengendali interim Harimau Kumbang
Akmal Rizal masih belum membawa sebarang perubahan drastik buat skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Berdasarkan ura-ura berkenaan, Akmal Rizal difahamkan akan digantikan selepas aksi berdepan Sabah FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Jumaat dengan Pengarah Teknikal, Merzagua Abderrazak disebut-sebut akan mengisi kekosongan itu.
Perkhabaran itu sedikit sebanyak memberi peluang buat pengendali Penang FC terbabit membuat perubahan untuk sekurang-kurangnya 'direhatkan' dengan status terhormat.
Perubahan terbaik terhidang buat jurulatih berusia 42 tahun itu adalah dengan merombak barisan serangannya tumpul diketuai Rodrigo Dias yang cukup tumpul setakat ini.
1. Tidak aktif ketika serangan
Berdasarkan pemerhatian setakat 10 penampilan dicatatkannya, penyerang kelahiran Brazil tersebut kerap menunggu bola daripada rakan sepasukan berbanding turun ke bahagian tengah pasukan.
Meskipun gaya permainan demikian sesuai dengan tubuhnya yang sasa, ia kurang diterima penyokong dengan rata-rata daripada mereka mahu melihat penyerang lebih aktif sepanjang berada di atas padang.
Wenzel-Halls lebih digemari penyokong Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Ini kerana mereka lebih mudah menerima kehadiran rekrut baharu, Dylan Wenzel-Halls yang rajin membantu mencipta serangan walaupun baru sahaja menyarung jersi Penang FC pada jendela perpindahan lalu.
Sekiranya dia terus dikekalkan dalam kesebelasan utama, Akmal Rizal sudah tentu akan terus diberi tekanan oleh penyokong yang mahu pendekatan berbeza daripadanya.
Tetapi, dengan jurulatih tersebut kurang berpengalaman, perubahan taktikal sudah tentu sukar diterapkan, apatah lagi dengan masa semakin suntuk buatnya.
2. Punca bolos berdepan Sri Pahang
Dalam aksi terakhir menentang Sri Pahang FC, Rodrigo Dias menjadi fokus utama apabila gagal membantu pasukannya daripada mengalami kekalahan kelima musim ini.
Meskipun beraksi sebagai penyerang, dia yang ketika itu berada dalam situasi bertahan tidak dapat menghalang hantaran kapten skuad Tok Gajah, Sergio Aguero.
Rodrigo Dias (dua dari kiri) gagal membantu dari segi pertahanan.
Kegagalan mengekang gawang mereka daripada dibolosi menyaksikan skuad Harimau Kumbang tumpas di laman sendiri dengan pemain import tersebut dikritik penyokong sendiri.
Jadi, sekiranya Rodrigo Dias terus berada dalam kesebelasan utama, ia akan meningkatkan perasaan kurang senang dalam kalangan peminat setia kelab berkenaan.
Sekiranya Akmal Rizal mengambil langkah drastik dengan menggugurkannya, penyokong sudah tentu lebih berpuas hati dan tidak memberi tekanan terhadap ketua jurulatih mereka.
3. Keberadaan Alif Ikmalrizal
Meskipun sudah merekodkan lima gol daripada 10 penampilan, Rodrigo Dias masih gagal mencuri hati peminat yang mengharapkan permainan lebih rancak daripada barisan serangan pasukan.
Jadi, dengan kekurangan pilihan dimiliki Akmal Rizal, dia perlu mengambil risiko meletakkan pemain muda, Alif Ikmalrizal yang beberapa kali diturunkan setakat ini.
Alif Ikmalrizal masih memiliki potensi cerah untuk menjadi penyerang utama skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Penyerang yang turut beraksi dalam skuad Piala MFL Penang FC itu pernah mencuri perhatian penyokong apabila mencetak jaringan bersama pasukan senior sekiranya dimasukkan pada penghujung permainan.
Sekiranya pemain berusia 21 tahun itu dipanggil bagi aksi di laman sendiri, penyokong pasti berasa lebih yakin terhadap sentuhan Akmal Rizal yang dilihat lebih berani.
Namun, dengan skuad Sang Badak memiliki barisan pertahanan kental, Alif Ikmalrizal seperti tidak akan berada dalam kesebelasan utama dengan Rodrigo Dias masih menjadi pilihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram