JOHOR Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi membuktikan keunggulan mereka di pentas domestik selepas mudah menundukkan Selangor FC 3-0 di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad.
Dua gol Bergson da Silva dan satu daripada Romel Morales menyaksikan tiga mata penuh dipungut skuad Harimau Selatan untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di persada carta.
Jadi, penyokong sudah tentu bergembira dengan kemenangan diraih memandangkan kedua-dua pasukan berkenaan boleh dikatakan musuh di atas padang beberapa musim kebelakangan ini.
BACA LAGI: TMJ inspirasi Sharnaaz Ahmad tubuhkan Carabat FC
BACA LAGI: 'Buat macam Terengganu', TMJ cadang pakai rumput Bermuda elak padang berlumpur
Tunku Ismail sering meluangkan masa menyuntik semangat buat skuad Harimau Selatan. — X/HRH Crown Prince of Johor
Malah, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga tidak mahu terlepas peluang menyampaikan ucapan tahniah buat anak-anak buah Hector Bidoglio atas persembahan memberangsangkan itu.
"Tahniah JDT, kita berdiri bersama-sama walau apa pun terjadi dan akan terus bekerja keras. Ia bukanlah satu perlumbaan, tetapi lebih kepada maraton. Masa untuk fokus bagi aksi akan datang, Alhamdulillah," tulisnya.
Ucapan itu dikongsikan di akaun X peribadinya berserta dua keping gambar memaparkannya meluangkan masa bersama pemain skuad Harimau Selatan sebelum ini.
Keazaman dan kesungguhan Tunku Ismail boleh dikatakan kunci di sebalik kejayaan pasukan Selatan tanah air itu memandangkan dia sering memberi kata-kata semangat buat pemain.
Jadi, tidak hairanlah apabila skuad Harimau Selatan dilihat terlalu mudah untuk menundukkan setiap lawan dihadapi mereka, baik dalam pentas domestik mahupun Asia.
Selepas ini, JDT akan berdepan Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super pada Jumaat ini sebelum berdepan Ulsan HD di laman sendiri bagi aksi keempat Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite empat hari selepas itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram