Dengar cakap otai, 3 calon jurulatih import termasuk bekas staf Porto sesuai kemudi kapal TFC


  • Podium
  • Jumaat, 04 Okt 2024

Tavares membantu pasukan berkenaan memenangi trofi Liga 1 Indonesia pada tahun pertamanya bersama skuad Juku Eja berkenaan. — Agensi

TERENGGANU FC (TFC) kini ibarat kapal tanpa nakhoda apabila Tomislav Steinbruckner sah meninggalkan jawatannya sebagai jurulatih selepas beliau sendiri bersetuju untuk mengundur diri daripada posisinya itu.

Susulan pemergian Steinbruckner, skuad Sang Penyu kini diambil alih oleh penolong jurulatih kelahiran Terengganu, Badrul Afzan Razali dan dibantu oleh pengendali Terengganu FC II (TFC II), Hairuddin Omar.

Bagaimanapun, status Badrul Afzan sebagai jurulatih interim sahaja pastinya memberi petunjuk bahawa pihak pengurusan skuad Sang Penyu sedang memantau jurulatih yang sesuai mengemudi kapal Terengganu.

BACA LAGI: Irfan Bakti anggap Badrul belum bersedia, Che Ku anggap TCH, Nafuzi calon terbaik kendali TFC

BACA LAGI: Hilang khidmat Ivan Mamut, peluang Safawi Rasid curi hati Tomislav Steinbruckner

Seperti dikatakan oleh otai Terengganu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor yang berpendapat bahawa pasukan Pantai Timur berkenaan perlu mencuba khidmat jurulatih import susulan mereka kini sedang bergelut dalam Piala Shopee.

"Terengganu sudah ada perancangan atau tidak untuk mencari ketua jurulatih dengan nama seperti coach Nafuzi (Zain) dan coach Tan (Cheng Hoe) dikaitkan.

"Kedua-dua nama ini sesuai untuk Liga Malaysia tetapi untuk aksi peringkat Asia, seorang jurulatih import profesional sesuai membimbing Terengganu," katanya Che Ku Marzuki yang sebelum itu memberi pilihan Tan Cheng Hoe dan Nafuzi Zain.

Sehubungan dengan idea Che Ku Marzuki itu, Majoriti cuba menyenaraikan tiga jurulatih import yang sesuai menggantikan khidmat Steinbruckner;

1) Mehmet Durakovic

WhatsApp Image 2024-10-03 at 19.25.41

Durakovic pernah berkhidmat bersama Selangor dan Perak. — Agensi

Jurulatih kelahiran Podgorica, Montenegro, Mehmet Durakovic merupakan salah satu pengendali Liga Super yang sukses memberikan kejayaan kepada dua pasukan iaitu Perak FC dan Selangor FC.

Dalam tempoh Durakovic melatih Gergasi Merah pada 2013 sehingga 2015, pengendali itu berhasil membantu Selangor mendapatkan trofi Piala Malaysia 2015 selepas menewaskan Kedah dengan keputusan 2-0.

Kejayaan membantu Selangor mengharungi Piala AFC ketika itu membuatkan Durakovic mendapat lamaran dari Perak pada 2017. Bersama The Bos Gaurus (TBG) pula, pengendali berusia 58 itu menyumbang kejuaraan Piala Malaysia pada 2018.

Meskipun sudah tidak melatih mana-mana pasukan namun pengendali yang mempunyai pengalaman luas di dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan untuk pelbagai pasukan bola sepak terutama di Australia itu masih relevan untuk dipantau skuad Sang Penyu.

2) Christophe Gamel

WhatsApp Image 2024-10-03 at 19.25.41 (3)

Gamel membantu Macarthur FC muncul juara Piala Australia pada tahun ini. — Instagram/Gamel

Bekas pengendali Sri Pahang FC, Christophe Gamel mungkin tidak sempat membuktikan kualitinya bersama pasukan Tok Gajah namun jurulatih itu baru-baru ini membantu Macarthur FC muncul juara Piala Australia hasil kemenangan ke atas Melbourne Victory.

Perbezaan dari segi budaya menyukarkan jurulatih berkenaan membawa perubahan terhadap skuad Tok Gajah dan menyebabkan dia memilih untuk meninggalkan Sri Pahang pada awal musim 2022 selepas kira-kira enam bulan berkhidmat.

Selepas mempunyai waktu sukar bersama Sri Pahang, Gamel kembali ke bidang diminatinya itu apabila menyertai skuad kebangsaan Vietnam sebagai pembantu dalam pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) mereka dan kini menjadi pembantu jurulatih Macarthur FC.

Pengalamannya di Liga Super dan beberapa liga serata dunia sememangnya boleh menjadi bekalan membantu Sang Penyu ke tahap lebih baik baik dalam saingan domestik ataupun pentas antarabangsa.

3) Bernardo Tavares

tavaresss

Tavares (tengah) sebelum ini berjanji wang yang dikutip daripada hasil jualan akan disalurkan kepada staf dan kakitangan PSM Makassar yang mengalami tunggakan gaji. — Agensi

Jurulatih semasa kelab Indonesia, PSM Makassar iaitu Bernardo Tavares antara calon pengendali import yang boleh dipertimbangkan oleh Terengganu lagi-lagi selepas melihat profilnya.

Menurut rekod Transfermarkt, Tavares bekerja sebagai pencari bakat untuk pasukan FC Porto pada musim 2007/2008. FC Porto ialah pasukan yang dibawa Jose Mourinho untuk memenangi Liga Portugal, Piala UEFA dan Liga Juara-Juara.

Dia mulakan kerjaya kejurulatihannya pada 2001 sebagai penolong jurulatih di akademi SL Benfica. Setelah itu, pernah menjadi pembantu di Alcobaca (2002), akademi Sporting Lisbon (2008), Carregado (2009), Belenenses (2010), dan Hidd SCC (2013).

Tavares yang menyertai PSM Makassar pada 2022 itu berhasil membantu pasukan berkenaan memenangi trofi Liga 1 Indonesia pada tahun pertamanya bersama skuad Juku Eja berkenaan.

Dengan PSM Makassar yang kini dilaporkan mengalami isu tunggakan gaji sehingga tahun lalu dia terpaksa melelong baju dan trofinya, Terengganu boleh cuba memancing Tavares untuk menyertai Sang Penyu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram