'Tertarik dengan sikap Tan Sri', Kedah boleh tersenyum, terima RM300,000 selesaikan kemelut gaji


  • Podium
  • Khamis, 24 Okt 2024

Skuad Sang Kenari masih terkesan dengan isu tunggakan gaji yang difahamkan berlaku sejak awal musim. — Facebook/KDA FC

SKUAD Sang Kenari boleh menarik sedikit nafas lega selepas pihak pengurusan kelab menerima suntikan dana bernilai RM300,000 daripada seorang individu yang tertarik dengan sikap pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar.

Perkara itu dikongsikan dalam satu hantaran di Facebook Royfaizal Razali Chong yang menceritakan sumbangan itu dibuat selepas menerima darjat kebesaran Kedah iaitu Bintang Kebaktian Masyarakat atas sokongan badan bukan kerajaan, Cancer Survivors Malaysia (CSM).

"Apabila berbual dengan Tan Sri, orangnya sangat ramah dan komited berusaha mencari penaja memberi suntikan dana kepada kelab dan dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku ketika ini.

BACA LAGI: Anda semua akan menolak Sang Kenari terbang tinggi — Daud Bakar

BACA LAGI: 'Jangan jadi lalat', KDA FC diingat tak sia-siakan dana tambahan

464413022_8449459111804968_7930804330150068068_n

Daud Bakar (dua dari kiri) dalam perbincangan pada Rabu. Facebook/Royfaizal Razali Chong

"Secara peribadi, saya tahu RM300,000 tak mampu untuk menyelesaikan semua masalah yang ada, tetapi saya percaya ia mampu mengurangkan sedikit sambil berdoa ada lagi penaja yang tampil ke depan," katanya.

Hantaran itu dibuat berserta dua keping gambar memaparkan Royfaizal bertemu Daud Bakar berserta tiga individu lain di dalam sebuah restoran yang dipercayai lokasi perbincangan mereka.

Suntikan dana berkenaan pasti akan digunakan untuk meringankan tunggakan gaji dialami pemain skuad Sang Kenari yang dilaporkan tidak menerima bayaran selama beberapa bulan.

Tunggakan bayaran itu jelas member kesan terhadap persembahan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berada di kedudukan ke-10 Liga Super dengan hanya 12 mata direkodkan.

WhatsApp Image 2024-10-24 at 5.31.21 PM

Bukti pemindahan wang yang dikongsikan penyumbang berkenaan. Facebook/Royfaizal Razali Chong

Dalam pada itu, individu berkenaan juga sempat menitipkan pesanan buat penyokong Hijau Kuning supaya hadir ke stadium dan memberi sokongan buat skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

"Kepada Tan Sri, saya doakan semoga dipanjangkan umur dan dipermudahkan urusan. Orang seperti Tan Sri dah tak ramai di Malaysia ni. Kebanyakan mereka sentiasa fikir tentang apa faedah kepada diri sendiri terlebih dahulu sebelum orang lain dan ianya berbeza dengan pemikiran Tan Sri.

"Kepada KDA FC, teruskan semangat berjuang. Jangan luntur semangat ketika diberi ujian hidup. Kepada penyokong tegar KDA FC, datang dan penuhkan stadium, pembelian tiket anda akan bantu meringankan lagi kemelut yang sedang melanda KDA FC," tulisnya.

Skuad Sang Kenari akan berdepan PDRM FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat ini dengan tiga mata mampu menaikkan lagi kedudukan mereka dalam carta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram