PERMULAAN mengecewakan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) terus menghantui Manchester United selepas mereka mengalami satu lagi kekalahan dalam aksi menentang West Ham United pada Ahad.
Gol daripada Crysencio Summerville pada minit ke-74 menyaksikan skuad The Hammers yang merupakan tuan rumah mendahului sebelum Casemiro mengikat semula kedudukan pada minit ke-81.
Perlawanan kemudiannya dilihat semakin rancak dengan kedua-dua pasukan cuba mendapatkan tiga mata penuh, namun kesuntukan masa membuatkan masing-masing terus kebuntuan idea.
BACA LAGI: Susahnya nak dapatkan Zidane, Man United tak sabar-sabar buru coach buangan Barcelona ganti Ten Hag
BACA LAGI: Zidane letak syarat Man United mesti bawa pertahanan Perancis jika mahu gantikan Ten Hag
Namun, memasuki minit-minit akhir permainan, West Ham dianugerahkan sepakan penalti selepas penyerang mereka, Danny Ings dijatuhkan di dalam kotak penalti pasukan pelawat ketika situasi kelam-kabut.
Meskipun pada awalnya pengadil berasakan sepakan penalti tidak perlu diberikan, semakan menerusi video bantuan pengadil (VAR) memberikan keputusan sebaliknya.
Tendangan kemudiannya disempurnakan Jarrod Bowen untuk meletakkan tuan rumah berkelebihan 2-1 dengan kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.
Berang akan keputusan pengadil, Ten Hag mempersoalkan mutu pengadilan yang sedikit sebanyak bercanggah dengan perubahan dilakukan berhubung penggunaan VAR.
"Sebelum permulaan musim, terdapat arahan bahawa teknologi tersebut hanya digunakan sekiranya terdapat kesalahan jelas. Ini adalah satu kesilapan jelas daripada pengadil bertugas.
Bowen tenang menyempurnakan sepakan penalti bagi memastikan kemenangan West Ham. β Agensi
"Saya sudah bertemu pengadil selepas perlawanan, tetapi keputusan sudah dibuat dan kita tidak boleh mengulanginya. Ini adalah kali ketiga kami mengalami isu ketidakadilan setakat musim ini," katanya.
Manchester United kini sudah mengalami empat kekalahan dalam liga dengan ia menyukarkan lagi hasrat mereka untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas, apatah lagi untuk menjadi pencabar takhta EPL.
Tekanan pastinya dirasai Ten Hag yang dilaporkan sudah berada dalam senarai pemecatan pihak pengurusan kelab yang sedang giat mencari pengganti setakat ini.
Keputusan itu menyaksikan skuad The Red Devils mengalami kekalahan keempat musim ini yang turut menyaksikan mereka berada di kedudukan ke-14 selepas sembilan perlawanan.
11 mata yang dikutip setakat ini menandakan mereka sekali lagi mengharungi permulaan kempen EPL dengan langkah kiri meskipun sudah membuat pelaburan sepanjang jendela perpindahan lalu. β Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram