KEMPEN mengecewakan diharungi skuad Bawah 17 Tahun (B-17) kebangsaan dalam kempen kelayakan Piala Asia B-17 di Laos dengan hanya satu mata direkodkan daripada dua perlawanan.
Mereka yang memulakan aksi dengan kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awalnya berpeluang untuk lolos sekiranya menang ke atas tuan rumah dalam pertembungan akhir pada Ahad.
Namun, peluang itu tidak diambil selepas anak-anak buah Javier Jorda Ribera hanya mencatatkan keputusan seri 2-2 yang pastinya sukar diterima penyokong.
BACA LAGI: 'Pemilik Liverpool, Man United pun tak block fans', tindakan FAM sekat penyokong diselar pemerhati
BACA LAGI: FAM ucap terima kasih kepada PM Anwar, mahu guna sebaiknya dana RM15 juta
Skuad B-17 negara hanya mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Laos.
Ini kerana satu mata yang diraih itu hanya meletakkan Harimau Muda di kedudukan kesembilan daripada 10 naib juara kumpulan dengan ia sekali gus meranapkan harapan untuk bertanding dalam kejohanan itu tahun depan.
Kecewa dengan prestasi berkenaan, penyokong mula mendesak pucuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bertanggungjawab atas kegagalan skuad muda negara.
Permintaan itu seperti sudah didengari apabila dalam satu ciapan pemerhati bola sepak, Fina Nasrom melaporkan pengurus skuad B-17 kebangsaan, Christopher Raj bertindak melepaskan jawatannya.
"Pengurus skuad B-17, Christopher Raj letak jawatan selepas kegagalan skuad negara layak ke Piala Asia B-17 2025 rentetan dari aksi longlai di Laos," tulisnya.
Christopher Raj menjadi individu pertama mengundurkan diri berikutan kegagalan pasukan.
Setakat ini, FAM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai peletakan jawatan itu dengan penyokong pasti tertanya-tanya mengenai nasib pasukan.
Jika laporan tersebut tepat, badan induk bola sepak negara itu pasti memerlukan seseorang yang berkaliber untuk memastikan perkembangan pasukan muda negara berada dalam landasan.
Sekiranya perkara itu tidak diberi perhatian, Harimau Muda tentu akan terus dibayangi pasukan lain sekitar Asia Tenggara yang sudah berada dalam tahap berbeza kebelakangan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram