KEMPEN kelayakan Piala Asia Bawah 17 tahun (B-17) 2025 mencipta sejarah sendiri apabila salah satu pasukan yang menyertainya iaitu Tajikistan meraih kemenangan besar ke atas Guam pada Rabu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bishan di Bishan, Singapura tersebut menyaksikan pasukan muda Tajikistan melakukan 'kenduri' gol ke atas Guam dengan mencatatkan kemenangan besar 33-0.
Kemenangan tanpa belas kasihan itu menyaksikan penyerang muda mereka iaitu Muhammad Nazrie mencetak selaku nama penjaring terbanyak dengan menjaring 14 gol dalam perlawanan berkenaan.
BACA LAGI: 'Sama macam abang', kekalahan skuad B-17 ceritakan masa depan bola sepak
Jaringan tersebut dijelmakan oleh pemain berusia 16 tahun tersebut pada minit kelima, ke-12, ke-22, ke-38, ke-49, ke-50, ke-55, ke-58, ke-66, ke-67, ke-73, ke-76, ke-82 dan seminit kemudian, meledak gol terakhir buat Tajikistan.
Sementara itu, Nazrullo Ashuralizoda pula mencatat nama sebagai penjaring dengan melakar hatrik berganda dengan menjaringkan gol pada minit ke-6, ke-10, ke-30, ke-38, ke-45+1 dan ke-52.
Manakala, Jafoev Umed meraih hatrik dengan mencetak jaringan pada minit ke-20, ke-23 dan ke-32. Tiga lagi pemain menyumbangkan dua gol masing-masing buat Tajikistan iaitu Haidarsho Khudoidodov, Parviz Bobonanazarov dan Asadbek Makhtumov.
Ia kemenangan terbesar pernah dicatat pada peringkat umur Asia. Rekod terdahulu dipegang pasukan B-17 Myanmar yang membenam Guam 26-0 pada 2000 manakala Jepun turut mencatat kemenangan besar 26-0 ke atas Macau pada 2005.
Lebih menarik, kemenangan besar itu mendapat perhatian lebih daripada penyokong Indonesia apabila memetik nama skuad B-17 Malaysia yang juga pernah bertemu Guam pada kempen Piala Asia B-17 tahun lepas.
Nama Harimau Muda menjadi topik perbualan penyokong negara seberang apabila hanya mencatatkan keputusan seri 1-1 sedangkan skuad B-17 Indonesia juga pernah berpesta gol ke atas Guam dengan kemenangan 14-0.
"Beza melangit pasukan Indonesia sama Malaysia," sindiran penyokong Indonesia, Albert Low.
"Jadi maksudnya, pasukan muda Indonesia jauh lebih hebat dari Malaysia," tambah penyokong Sang Garuda, Brama Blues.
Tangkap layar perlawanan Malaysia menentang Guam sebelum ini.
Dalam pada itu, Malaysia membuka tirai kempen kelayakan Piala Asia B-17 2025 dengan langkah kiri apabila tewas dalam perlawanan pertama. Skuad bimbingan Javier Jorda Ribera terpaksa akur akan kekuatan Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila tewas 0-2 dalam aksi kumpulan H pada Rabu.
Dalam perlawanan yang berlangsung di New Laos National Stadium, Vientiane, Laos itu menyaksikan skuad kebangsaan membenarkan dua gol menembusi pintu gawang yang gagal dijaga kemas oleh Naqqiuddin.
Dua jaringan yang berjaya dicetak oleh pemain Emeriah Arab Bersatu adalah menerusi Mayed Adel Khamis dan Mohamed Buti Almarar pada babak pertama perlawanan.
Selepas ini, skuad B-17 akan bertemu Laos yang merupakan tuan rumah bagi perlawanan kedua Kumpulan H pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram