AKSI Kelayakan Piala Asia Bawah-17 (B-17) 2025 menyaksikan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mudah menundukkan Malaysia pada perlawanan pembukaan pada Rabu.
Skuad bimbingan Javier Jorda Ribera itu terpaksa akur akan kekuatan pasukan lawan apabila tewas 0-2 dalam aksi kumpulan H.
Dalam aksi tersebut, barisan pertahanan kebangsaan terpaksa membenarkan dua jaringan menembusi pintu gawang yang gagal dijaga kemas oleh Naqqiuddin.
BACA LAGI: 'Luka yang melukakan', skil Milunovic, kesilapan Shivan punca Perak FC biar Sang Penyu curi mata
BACA LAGI: [VIDEO] Enggan letak harapan tinggi, Black Panthers kekal 'wajah sama' sepanjang GP Johor
Sebahagian sesi latihan pasukan B-17 kebangsaan menjelang aksi bertemu Laos. — FAM
Dua jaringan yang berjaya dicetak oleh pemain Emiriah Arab Bersatu adalah menerusi Mayed Adel Khamis dan Mohamed Buti Almarar pada babak pertama perlawanan.
Bagaimanapun, menjelang perlawanan bertemu Laos pada Ahad, Malaysia sebenarnya masih berpeluang untuk mara ke peringkat seterusnya sekiranya berjaya meraih tiga mata berharga dalam aksi tersebut.
Ini kerana berdasarkan format pertandingan, lima naib juara terbaik daripada 10 kumpulan akan layak ke peringkat seterusnya.
Jadi, dengan skuad Harimau Muda hanya beraksi sekali setakat ini, mereka mempunyai potensi untuk mara jika tiga mata penuh dibawa pulang.
Meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong tanah air berharap agar wakil Malaysia itu mampu meraih tiga mata berharga bertemu Laos.
"Kalau lihat keputusan perlawanan kumpulan lain, tiada satu pun keputusan seri bermakna dengan tiga mata kedudukan tempat kedua masing-masing ada peluang layak dengan syarat kena besarkan perbezaan gol," kata Khairul Azimin.
"Kalau menang dengan Laos ada harapan Malaysia ini," kata Muhamad Alrizal Rizal.
Begitu pun pasukan kebangsaan dijangka berdepan situasi sukar apabila akan beraksi di hadapan penyokong tuan rumah.
Laos mengalami kekalahan dalam aksi kedua kumpulan kepada UAE dengan keputusan 2-5 yang sekali gus memadam peluang mereka untuk bersaing dalam edisi Piala Asia B-17 tahun depan.
Malaysia akan bertemu Laos bagi aksi kedua Kumpulan H pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram