KUALA Lumpur (KL) Thunders sekali lagi membuktikan keunggulan dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini apabila menjuarai Grand Prix (GP) Penang pada Ahad lalu.
Mereka yang bertemu Perak Bison dalam perlawanan akhir mudah mengatasi pasukan itu dengan keputusan straight set (15-12, 15-10) untuk muncul juara buat kesemua edisi GP setakat ini.
Dengan kemenangan keempat itu, tentunya kedudukan KL Thunder yang kini mengungguli carta STL 2024 dijangka sukar digugat oleh mana-mana pasukan.
BACA LAGI: [VIDEO] Format GP: Saya lebih prefer kejohanan liga sebab... — Syahir Rosdi
BACA LAGI: Format GP STL: Pengurusan kelab kena bijak — Mohsen
Menjelang GP Johor yang akan membuka tirainya pada Selasa, tekong utama KL Thunder, Syahir Rosdi mahu membantu pasukan Lembah Klang itu mengekalkan kejuaraan seperti GP sebelum ini.
"Harapan kami adalah untuk mengekalkan kejayaan sebagai juara STL musim ini dan menjaga prestasi pasukan dengan baik," katanya kepada Majoriti.
Menurut Syahir, semua pasukan pastinya akan memberikan persembahan 100 peratus di gelanggang bagi mencuri mata agar tidak tersingkir ke Divisyen 1.
"Mengenai GP Johor, semua pasukan akan bersaing untuk meraih mata. Saya percaya setiap pasukan akan berlatih dengan bersungguh-sungguh dalam minggu ini.
"Oleh itu, kami tidak boleh berasa selesa atau lalai, kami kena sentiasa fokus dari semua sudut," ujarnya.
Tekong berbisa negara, Syahir Rosdi (depan).
Syahir yang juga merupakan tekong utama negara itu sempat berkongsikan 'resipi' rahsia yang diterapkan dalam pasukannya itu.
"Saya tak pasti pasukan lain tapi pengurusan dan jurulatih KL Thunder memainkan peranan yang sangat penting dalam aspek pemulihan.
"Fokus utama kami adalah memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik, terutama untuk meningkatkan semangat pemain.
"Antara kaedah yang kami lakukan ketika proses pemulihan adalah seperti mandi ais dan sport massage.
"Selain itu, kami memberi perhatian khusus kepada proses cooling down selepas setiap permainan, termasuk regangan yang betul," jelasnya.
Mskipun KL Thunder mempunyai barisan pemain yang berkualiti tidak kira pemain utama atau simpanan, Syahir berkata, jurulatih sememangnya menekankan kepentingan pemulihan.
"Walaupun jurulatih menyedari kelebihan pemain namun dia tetap menekankan kepentingan pemulihana supaya pemain tidak mudah cedera," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram