[VIDEO] 10 tahun jaring tak pernah koyak, servis Sobey pecah rekod STL


  • Podium
  • Sabtu, 19 Okt 2024

Kejayaan Terengganu berpunca daripada kecemerlangan tekong mereka iaitu Sobey (tengah). — Facebook/STL

SKUAD Terengganu Turtles tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan Johor Tigris dalam aksi straight set 15-12,15-8 bagi saingan Grand Prix (GP) Penang Liga Sepak Takraw (STL) 2024 di Spice Arena dekat Bayan Baru, Pulau Pinang pada Sabtu.

Johor Tigris yang kali pertama bertemu Terengganu mempertaruhkan skuad terbaiknya diketuai Farhan Adam (pengumpan), Hairul Hazizi (tekong) dan Teerapat Deecharoen (perejam).

Manakala, Terengganu Turtles meletakkan barisan sama seperti Zulkifli Razak sebagai (tekong), Zulhusni Basri (pengumpan) dan Aman Rosdi (perejam).

BACA LAGI: [VIDEO] 'First ball' teruk, balingan bola tak serasi punca NS Antlers kalah kepada KL Thunder

BACA LAGI: STL 2024: 'Batal atau tidak?' Challenge minit akhir cipta drama aksi Kelantan Warriors-NS Antlers

Kejayaan skuad Pantai Timur berkenaan dilihat berpunca daripada kecemerlangan tekong mereka iaitu Zulkifli atau yang lebih dikenali sebagai Sobey sukar dijinakkan apabila Johor terpaksa akur untuk tewas 15-12 dalam set pertama.

Antara servis Sobey yang mencuri tumpuan adalah ketika servis tekong berkenaan berhasil menembusi jaring hingga menyebabkan perlawanan terhenti seketika untuk menukar jaring baru.

Menariknya, momen berkenaan menyaksikan kali pertama jaring kejohanan tersebut terkoyak selepas 10 tahun pengajuran STL.

Set kedua Terengganu nyata tidak mengambil masa terlalu lama apabila memanfaatkan Johor yang bergelut untuk mempersembahkan aksi terbaik mereka untuk tewas 8-15.

Kecemerlangan tekong mereka juga mendapat pujian daripada rakan sepasukannya iaitu Aman dengan dia menganggap Sobey sebagai kunci kemenangan ke atas Johor Tigris.

“Memang setuju sangat yang Sobey membantu Terengganu mendapatkan mata. Kalau dia tidak bantu, memang tidak akan menang sebab depan memang dah kucar (berterabur).

“Orang cakap berterabur lah. Sobey bantu servis dan Aman kena bantu dekat balingan. Kalau balingan okay, Sobey akan buat servis yang baik,” katanya memetik video temu bual oleh Facebook rasmi STL.

Hasil kemenangan berkenaan, Terengganu bakal berdepan cabaran Perak Bison dalam aksi separuh akhir pertama pada Ahad selepas pasukan berkenaan berhasil menewaskan Selangor Pistons. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram